Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pekerja bergaji rendah mungkin nikmati kenaikan gaji mulai Julai

May 26, 2016 | 7:54 AM
Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) dijangka mengumumkan minggu depan saranan memberi pekerja bergaji rendah kenaikan gaji minimum. Saranannya sedang dipertimbangkan Pemerintah dan, jika diterima, akan bermula pada 1 Julai.
Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) dijangka mengumumkan minggu depan saranan memberi pekerja bergaji rendah kenaikan gaji minimum. Saranannya sedang dipertimbangkan Pemerintah dan, jika diterima, akan bermula pada 1 Julai. - GAMBAR FAIL ST

PEKERJA bergaji rendah mungkin menikmati satu lagi kenaikan gaji tahun ini.

Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) dijangka mengumumkan minggu depan saranan memberi pekerja bergaji rendah kenaikan gaji minimum.

Saranannya sedang dipertimbangkan Pemerintah dan, jika diterima, akan bermula pada 1 Julai, lapor akhbar The Straits Times pada Khamis (26 Mei).

Ini meneruskan dorongan yang dimulakan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada 2012 untuk menaikkan gaji pekerja bergaji rendah.

Pada tahun itu, NTUC melobi kenaikan gaji minimum $50 bagi pekerja bergaji asas bulanan hingga $1,000. NWC menyokong langkah itu, yang diterima Pemerintah kemudiannya.

Ia kali pertama dalam tempoh hampir 30 tahun NWC menetapkan jumlah minimum untuk menaikkan gaji pekerja.

Majlis itu meneruskan kaedah tersebut selama tiga tahun lagi, menaikkan kenaikan gaji minimum $60 pada 2013. Ia mencadangkan kenaikan $60 bagi pekerja bergaji rendah pada 2014 dan tahun lalu.

Malah tahun lalu, ia juga menaikkan paras gaji bagi layak mendapat kenaikan minimum itu kepada $1,100.

Apabila pusingan terbaru rundingan gaji bermula pada Mac lalu, pemimpin kesatuan sekerja terus menggesa bagi jumlah minimum kenaikan gaji untuk pekerja bergaji rendah pada paras yang sama dengan tahun-tahun sebelum ini, kata satu sumber.

Ketua gerakan buruh, Encik Chan Chun Sing, enggan mengulas mengenai pendirian NTUC dalam rundingan gaji, menurut akhbar itu.

"Saya akan memberi komen saya apabila saranan tersebut diumum," kata setiausaha agung NTUC itu. "(Pengumuman) NWC akan keluar minggu depan."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg