PEKERJA ekonomi gig digesa merebut peluang dalam sektor pelancongan setempat sedang Singapura melonggarkan sekatan sempadan dan membuka semula ekonomi, kata anggota panel di sebuah sesi dialog anjuran Forum Belia Islam (MYF) dan Grab.

Golongan pekerja gig juga dinasihatkan supaya mempertingkat kemahiran dan meneroka peluang yang lebih baik dalam sektor yang sedang berkembang.

Mereka juga digalak mempertingkat kemahiran menguruskan kewangan dengan mengikuti pelbagai kursus celik kewangan yang ditawarkan.

Demikian antara saranan yang dibentang anggota panel yang terdiri daripada Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman; Pengasas bersama MYF dan Pengerusi M3 @ Jalan Besar, Encik Mohamed Shah Reza; Pengarah Urusan Grab, Encik Yee Wee Tang; dan Encik Mafteem Farshad, Pengurus Perkhidmatan Kewangan TAQWA.

Sesi dialog itu diadakan dalam rangka acara 'Eid & Eat 2022' yang diadakan hasil kerjasama MYF dan Grab untuk menghargai jasa baik dan pengorbanan pekerja Grab.

Di sesi dialog itu, Encik Mohd Fahmi, telah berkongsi usaha M Kuasa Tiga (M3) yang bertujuan mengukuhkan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan pekerja gig agar dapat merebut peluang pekerjaan yang lebih baik.

Beliau yang menerajui Bidang Tumpuan Keempat (FA4): Pekerjaan dan Daya Kerja di bawah rangkaian M³, turut membantu pekerja gig seperti yang di dalam khidmat penghantaran dan pengangkutan.

"Pekerja ekonomi gig harus terus meningkatkan kemahiran untuk kekal relevan dalam kerjaya mereka dan juga melihat peluang di sektor-sektor lain," ujar Encik Mohd Fahmi yang juga Anggota Parlimen GRC Marine Parade.

Dalam sesi dialog itu, Encik Mohd Fahmi juga menggesa golongan itu supaya mempertingkatkan diri sedang sektor-sektor ekonomi berkembang, selepas pasca-Covid-19.

"Ambil kesempatan ini untuk melihat peluang pekerjaan lain. Ada banyak bantuan yang disediakan untuk terus mempertingkatkan kemahiran anda," tambah beliau.

Berucap di acara tersebut, Encik Mohamed Shah melahirkan penghargaan kepada wadah seperti Grab kerana memberi pekerja gig peluang mencari rezeki, lebih-lebih lagi di masa pandemik.

"Mereka berjuang untuk pekerjaan mereka demi menampung kehidupan mereka sekeluarga," kata beliau.

Seorang lagi anggota panel, Encik Wee berkata, Grab menawarkan pelbagai wadah untuk membantu pekerjanya meningkatkan kemahiran.

Ini termasuk Akademi Grab yang menawarkan pelbagai kursus peningkatan kemahiran.

Di sesi tersebut, beliau memerhatikan sektor pelancongan kian bertenaga dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Dalam hal ini pekerja Grab mempuyai peluang yang boleh dimanfaatkan, katanya.

"Ini adalah satu idea untuk mendapatkan pemandu Grab sebagai pemandu pelancong untuk membawa pelancong meneroka tempat di Singapura," kata beliau.

Pengurus khimdat kewangan TAQWA, Encik Mafteem, menggalak pekerja ekonomi gig supaya mempelajari cara menguruskan kewangan.

"Pekerja harus memahami kepentingan menguruskan kewangan untuk menyokong keperluan mereka dan bersedia untuk menghadapi sebarang kecemasan," kata beliau.

Seorang peserta dialog, Encik Abdullah Alfaqeh Yusoff, pekerja Grab selama lima tahun, berkata beliau telah menghadiri 18 kursus yang disediakan Akademi Grab.

Ini termasuk kursus seperti Perancangan Kewangan dan Kursus Belanjawan & Simpanan.