Topik diikuti
Pergi ke BHkuPekerja jagaan kesihatan boleh dapatkan vaksin Spikevax Moderna
Tawaran dibuka mulai 25 Oktober kerana terdedah kepada risiko Covid-19
Pekerja jagaan kesihatan boleh dapatkan vaksin Spikevax Moderna
SEMUA pekerja penjagaan kesihatan yang layak di sektor awam dan swasta akan dapat menerima vaksin Covid-19 Spikevax Moderna yang terbaru mulai 25 Oktober memandangkan mereka lebih terdedah kepada risiko Covid-19.
Kementerian Kesihatan (MOH) semalam menyatakan pekerja penjagaan kesihatan berumur 18 tahun ke atas dan yang terakhir menerima suntikan vaksin Covid-19 sekurang-kurangnya lima bulan lalu, boleh pergi ke mana-mana sembilan pusat ujian dan vaksinasi bersama (JTVC) yang menawarkan vaksin baru itu.
Vaksin Spikevax Moderna, juga dikenali sebagai vaksin bivalen, menyasarkan kedua-dua variasi asal Covid-19 dan variasi Omicron.
Lebih 28,000 orang telah sama ada membuat janji temu atau telah mengambil vaksin bivalen tersebut setakat semalam, dedah MOH dalam satu kenyataan.
Vaksin bivalen itu telah dilancarkan di sini pada 14 Oktober lalu bagi mereka yang berumur 50 tahun ke atas sebagai suntikan penggalak kedua.
Suntikan terakhir mereka mestilah sekurang-kurangnya lima bulan lalu.
Ia juga ditawarkan kepada mereka yang masih belum mencapai perlindungan minimum terhadap Covid-19 - mereka yang telah menerima sekurang-kurangnya tiga dos vaksin mRNA atau Nuvaxovid atau empat dos Sinovac-CoronaVac.
MOH menyatakan semua pekerja penjagaan kesihatan perlu menunjukkan pas kakitangan yang sah dengan nama mereka bagi tujuan pengenalan di JTVC.
Mereka yang tidak mempunyai pas tersebut boleh mengemukakan memo yang mengandungi kepala surat syarikat atau organisasi, atau cop rasmi sebagai bukti.
Selain itu, institusi penjagaan kesihatan juga boleh membuat pengaturan bagi kakitangan mereka yang tidak dapat mengunjungi JTVC kerana keperluan kerja, agar dapat menerima vaksin di tempat kerja masing-masing.
"Vaksinasi kekal sebagai pertahanan utama kami terhadap penyakit teruk akibat Covid-19, dan kami menggalak semua orang yang layak untuk mengambil vaksin bivalen apabila mereka mampu melakukannya," ujar MOH.