SEORANG pekerja Singapura berusia 53 tahun yang sedang memunggah penghantaran pintu kaca di sebuah gudang di Alexandra meninggal dunia akibat kecederaan selepas sembilan pintu kaca tumbang ke atasnya dan dua lagi pekerja.
Lelaki itu dikejarkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) bersama seorang lagi pekerja yang cedera. Pekerja yang cedera itu kini berada dalam keadaan stabil. Pekerja ketiga yang terbabit dalam insiden itu tidak cedera, lapor akhbar The Straits Times.
Kejadian terbaru ini merupakan kematian yang keempat di tempat kerja sejauh ini pada 2023.
Dalam satu kenyataan semalam, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata ia telah mengarahkan firma pembinaan AGL Facade Systems untuk menghentikan semua kegiatan kerja dan melantik juruaudit keselamatan dan kesihatan di tempat kerja untuk mengkaji semula amalan kerja di firma itu.
Firma itu juga telah dilarang daripada mengambil pekerja migran baru selama tiga bulan. Dalam pada itu, pengarah firma dikehendaki melaporkan maklumat kepada MOM dan dipertanggungjawab secara langsung jika ada yang perlu diperbetulkan, tambah kenyataan itu.
MOM berkata kemalangan itu berlaku di 61 Kompleks Alexandra Terrace Harbour Link pada sekitar 2.15 petang pada 2 Februari lalu, apabila lelaki itu memunggah pintu kaca dari sebuah kontena perkapalan.
MOM berkata kepingan kaca dan panel dalam bekas perkapalan perlu diikat dalam bendungan dan diletakkan dalam kedudukan tegak di dalam sebuah peti kayu apabila ia diangkut. Forklift atau pengendali teleskopik yang dibina khas harus digunakan untuk memunggah barangan dengan selamat, tambah MOM.
Jika barangan perlu dipindahkan secara manual, maka cara sokongan yang betul, termasuk prop, pendakap, bingkai atau tali pinggang sekatan perlu disediakan untuk mengelakkan barangan lain di dalam bekas daripada tertumbang, kata kenyataan itu.
MOM menambah bahawa ia sedang menyiasat kemalangan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg