Seorang pekerja binaan maut dan seorang lagi cedera dalam satu kejadian pada 27 Jun di tapak binaan stesen Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura yang akan datang di Woodlands North.
Menurut laporan The Straits Times (ST), pekerja binaan yang maut berusia 48 tahun manakala yang cedera berusia 49 tahun setelah bar tetulang terjatuh dan terkena mangsa sedang kerja-kerja pemasangan bagi asas stesen itu berlangsung kira-kira 9.30 pagi.
Kedua-dua pekerja dikejarkan ke hospital, di mana mangsa meninggal dunia.
Siasatan polis sedang dijalankan tetapi hasil siasatan awal menunjukkan tiada perbuatan khianat disyaki.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata bar tetulang itu bergoyang sebelum ia jatuh.
LTA menambah bahawa ia memandang serius tentang insiden keselamatan, dan tempoh tenang keselamatan atau safety time-out (STO) telah dilaksanakan untuk menyemak dan meningkatkan lagi proses keselamatan.
Sementara itu, pihak berkuasa sedang bekerjasama dengan kontraktor utama, firma Jepun Penta-Ocean Construction, dan subkontraktor terbabit, Interno Engineering, untuk membantu keluarga pekerja yang maut.
Ini adalah kematian ketiga pekerja di tapak kerja LTA dalam tempoh tujuh bulan.
Encik Han Wenqi, pegawai keselamatan dan kesihatan tempat kerja yang berdaftar, berkata majikan, pihak bertanggungjawab dan penyelia harus melaksanakan apa yang dikenali dalam industri sebagai kaedah 3-3-3 apabila mengangkut barangan berat.
Ini termasuk mengekalkan jarak selamat sekurang-kurangnya tiga meter dari barangan yang diangkut dan memastikan kestabilan barangan dengan terlebih dahulu dengan mengangkut barangan tersebut 30 sentimeter dari tanah, lalu tunggu selama tiga saat sebelum memulakan operasi mengangkut yang sebenar.
“Komunikasi dan penyelarasan semasa mengendalikan barangan berat adalah penting untuk memastikan operasi yang lancar dan selamat,” tambah Encik Han.
Pada 2020, Penta-Ocean telah dianugerahkan kontrak LTA bernilai $932.8 juta untuk membina stesen RTS Link di Woodlands North, yang terletak bersebelahan stesen MRT Woodlands North di Laluan Thomson-East Coast (TEL).
Kontrak itu juga termasuk pembinaan terowong rel rentas sempadan sepanjang empat kilometer dan bangunan Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Woodlands North. Pembinaan rel bahagian Singapura bermula pada 2021.
Pembinaan RTS Link sedang berjalan mengikut jadual dan sehingga 31 Mei, ia sudah hampir 80 peratus siap dan dijadual siap menjelang Disember. Perkhidmatan penumpang dijangka bermula pada penghujung 2026.
Mass Rapid Transit Corporation Malaysia (MRT Corp) berkata depoh penyelenggaraan, bahagian penting prasarana kereta api yang terletak di kawasan Wadi Hana di Johor Bahru, sudah lebih 82 peratus siap dan pemasangan sistem ditetapkan menjelang akhir 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg