
SEORANG pekerja pembersihan warga Bangladesh telah ditumbuk di dada pada Khamis oleh seorang lelaki yang dulu pernah mengganggu dan memecahkan penyapu pekerja majlis bandaran, kata Anggota Parlimen (AP) MacPherson, Cik Tin Pei Ling. Dalam satu catatan di laman sosial Instagram lewat malam Khamis, Cik Tin berkata dalam video itu bahawa lelaki itu berkemungkinan mabuk apabila dia menyerang pekerja itu. Cik Tin berkata: "Lelaki ini, mungkin mabuk, kemudian memutuskan untuk memburu salah seorang pekerja pembersihan lain dan menumbuknya di dada." Kejadian itu berlaku kira-kira 11 pagi Khamis di kolong Blok 87 Circuit Road, kata pengarah urusan NRT Trading and Engineering, Encik Sakthivelan Nararajah, kepada The Straits Times pada Jumaat (10 Mac). Syarikat Encik Sakthivelan ialah kontraktor yang diambil Majlis Bandaran Marine Parade. Dalam klip video itu, kelihatan berdiri di sebelah Cik Tin ialah pekerja Bangladesh yang dikenali sebagai Encik Babul, 48 tahun. Anak lelakinya Ahammed Siyam, 20 tahun, merupakan mangsa yang ditumbuk lelaki itu. Bapa dan anak bekerja bersama-sama sebagai pembersih buat majlis bandaran, kata Cik Tin.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg