SEORANG pekerja pembersihan yang menginap di Pulau Kusu merupakan orang pertama mengesan kebakaran yang memusnahkan tiga kubur terletak di puncak bukit pulau tersebut malam kelmarin.
Punca kebakaran yang bermula sekitar 6.20 petang itu masih belum diketahui, kata penjaganya, Encik Ishak Samsudin, 60 tahun.
Kebakaran itu dikesan Encik Hari Haran, 26 tahun, yang telah membersihkan pulau itu dan menjaga pokok-pokok di sana selama tiga tahun, menurutnya kepada The Straits Times (ST).
Pulau Kusu diuruskan Penguasa Tanah Singapura (SLA).
Encik Hari berkata beliau terhidu sesuatu yang terbakar sebelum bergegas ke kebur itu dan mendapati api sedang marak.
Namun kebakaran itu berjaya dipadamkan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), dibantu dengan hujan lebat yang kebetulan turun kelmarin malam.
Encik Ishak melahirkan rasa terkejut dan tidak percaya kubur itu musnah.
Tapak puncak bukit itu bermula sebagai kubur tunggal untuk seorang bernama Syed Abdul Rahman pada 1819, kata Encik Ishak yang telah menjaganya selama 18 tahun.
Dua lagi merupakan kubur ibu Syed Abdul Rahman, Nenek Ghalib dan kakaknya, Puteri Fatimah.
Encik Taha, seorang rakan Encik Ishak yang membantu menjaga pulau itu pada hari Ahad, berkata:
"Kami tidak percaya kubur itu terbakar, kami sebenarnya menyimpan tiga alat pemadam api di sana dan setiap hari apabila kami keluar kami memastikan semua kemenyan dipadam."
Encik Ishak pula menambah walaupun langkah berjaga-jaga diambil untuk menghentikan kebakaran daripada berlaku, kubur dibuka sepanjang masa dan beliau tidak dapat mengawal apa yang berlaku selepas beliau pulang.
Katanya, beliau sudah pun menghubungi kontraktor untuk membina semula kubur itu.
"Pembinaan di sini akan menelan kos dua atau tiga kali ganda lebih banyak daripada pembinaan di tanah besar kerana kos pengangkutan. Tetapi saya akan melihat bagaimana untuk membiayainya," katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg