PEKERJA penyelenggaraan landskap boleh menikmati kenaikan gaji asas minimun sebanyak 6.3 peratus setahun secara purata, sepanjang tempoh enam tahun, dari 2023 hingga 2029. Ini menyusuli usulan oleh sebuah jawatankuasa tiga pihak berhubung tangga gaji industri landskap yang diterima oleh pemerintah Jumaat (20 Ogos). Lebih 3,000 pekerja landskap warga dan penduduk tetap (PR) Singapura dari 358 syarikat boleh menikmati kenaikan gaji itu dari 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2029. Kenaikan itu juga lebih seganda berbanding kenaikan gaji sebanyak 3 peratus setahun yang diumumkan pada 2018, daripada saranan kepada Model Gaji Progresif (PWM) bagi industri tersebut sebelum ini. PWM merupakan tangga yang menetapkan gaji minimum dan keperluan latihan bagi pekerja di tahap kemahiran yang berbeza. Kenaikan gaji terkini itu merupakan antara saranan oleh Kelompok Tiga Pihak bagi Industri Landskap (TCL), yang merangkumi wakil pemerintah, kesatuan sekerja serta penyedia dan pembeli khidmat penyelenggaraan landskap.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg