Bagi pekerja sosial yang mengendalikan kes perlindungan kanak-kanak, seperti di Pusat Perkhidmatan Keluarga (FSC), maklumat penting daripada pelbagai agensi kadang-kala tidak selalu sedia ada.

Jurang sedemikian mengehadkan kebolehan pekerja sosial untuk memahami sepenuhnya keadaan dan risiko keselamatan dalam sesebuah keluarga, lalu mengambil tindakan yang sesuai pada peringkat lebih awal.

Menurut Ketua Pusat FSC Allkin @ Sengkang 223D, Cik Yasmin Abdul Rahim, jurang itu telah dirapatkan berikutan pelancaran unit Amaran Pemahaman Situasi bagi Penglibatan dan Tindakan Barisan Hadapan (SAFER) pada Jun 2026, oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Unit tersebut meneliti maklumat dan perkembangan penting mengenai keselamatan kanak-kanak daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Biro Narkotik Pusat (CNB).

MSF berkata contoh maklumat yang dinilai oleh SAFER termasuk rekod kehadiran dan menarik keluar kanak-kanak dari prasekolah, rekod diberkas, kesalahan di mana kanak-kanak merupakan mangsa serta kesalahan seksual dan dadah.

Apabila dihubungi Berita Harian (BH), Cik Yasmin, berusia 43 tahun, berkata:

“Dengan SAFER, maklumat penting daripada pelbagai agensi dapat dinilai bersama-sama, sekali gus membongkar risiko yang mungkin tidak ketara sekiranya setiap maklumat itu dinilai secara berasingan.

“Misalnya, rekod kehadiran prasekolah yang lemah secara berterusan, apabila mengambil kira maklumat lain, memberikan gambaran lebih jelas mengenai keadaan kanak-kanak serta menampilkan potensi kebimbangan pada peringkat lebih awal.

“Lantas, penilaian seperti itu memberi pekerja sosial barisan hadapan gambaran lebih holistik, sekali gus memperkasa usaha kami dalam mendampingi keluarga dan menyediakan bantuan lebih tepat pada waktunya.

Oleh itu, Cik Yasmin yakin bahawa unit SAFER mengukuhkan usaha mendampingi keluarga rentan lebih awal, meneliti kebimbangan baharu serta mengambil tindakan yang lebih berkesan.

Berbekalkan pengalaman sebagai pekerja sosial selama lebih 18 tahun, Cik Yasmin mendapati keupayaan SAFER yang menyediakan akses lebih lancar kepada maklumat penting daripada pelbagai agensi antara kekuatan utama unit itu.

Sebelum SAFER dilancarkan, FSC biasanya dimaklumkan mengenai kes perlindungan kanak-kanak menerusi rujukan rasmi daripada pihak seperti sekolah, ahli keluarga atau jiran, kongsi Cik Yasmin.

“Lantaran itu, sebarang langkah campur tangan sering kali bergantung kepada sama ada seseorang itu mengenal pasti adanya kes atau membuat laporan tentang kes itu. Tanpa itu, risiko mungkin kekal dan tidak dikesan langsung,” katanya.

Oleh itu, inisiatif SAFER bukan sahaja mendedahkan kes yang mungkin tidak dikesan langsung, malah memastikan langkah campur tangan diambil pada peringkat lebih awal, tambah Cik Yasmin.

Selaku Ketua Allkin FSC @ Sengkang 223D, Cik Yasmin memimpin sekumpulan profesional yang terdiri daripada pekerja sosial, pekerja sosial kanan, kaunselor dan selainnya. Dengan pengalaman lebih 18 tahun dalam bidang ini, Cik Yasmin bijak dalam mengendalikan kes berkenaan dengan ahli keluarga, ibu bapa, belia dan kanak-kanak dalam pelbagai situasi. Ia termasuk meneliti risiko, kebimbangan mengenai keselamatan serta hubungan kekeluargaan yang renggang.
Selaku Ketua Allkin FSC @ Sengkang 223D, Cik Yasmin memimpin sekumpulan profesional yang terdiri daripada pekerja sosial, pekerja sosial kanan, kaunselor dan selainnya. Dengan pengalaman lebih 18 tahun dalam bidang ini, Cik Yasmin bijak dalam mengendalikan kes berkenaan dengan ahli keluarga, ibu bapa, belia dan kanak-kanak dalam pelbagai situasi. Ia termasuk meneliti risiko, kebimbangan mengenai keselamatan serta hubungan kekeluargaan yang renggang. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sementara itu, proses menerima pengesanan daripada unit SAFER turut menjimatkan masa berbanding kaedah menghubungi agensi dan menantikan respons masing-masing.

Setakat ini, Allkin FSC @ Sengkang telah menerima tiga maklumat amaran daripada unit SAFER.

Salah satu amaran tersebut membantu FSC itu mengendalikan kes yang melibatkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang disyaki didera secara fizikal.

Setelah mendekati keluarga tersebut, mereka mendapati keluarga itu bergelut dengan lebih banyak cabaran, yang kesemuanya mampu menjejaskan keselamatan kanak-kanak itu.

Ia termasuk cabaran keibubapaan, sejarah konflik dan keganasan antara ibu bapa, pendedahan kanak-kanak kepada konflik itu serta tekanan kewangan dan emosi yang mendalam.

Maklumat amaran SAFER memberi FSC itu permulaan yang baik untuk membendung risiko daripada meningkat, sekali gus membantu keluarga itu.

“Tanpa SAFER, keluarga ini mungkin tidak dikenal pasti oleh sebarang FSC kerana mereka tidak mencari bantuan,” kata Cik Yasmin.

Susulan itu, Allkin FSC @ Sengkang berjaya menetapkan langkah perlindungan jangka masa panjang untuk kanak-kanak itu dan keluarganya, termasuk pelan keselamatan.

Mereka juga dapat memperluaskan jaringan sokongan keluarga itu untuk merangkumi ahli keluarga besar, pihak sekolah serta rakan penjagaan kesihatan.

Jika terdapat kebimbangan mengenai keselamatan kanak-kanak di antara keluarga yang menolak bantuan, FSC tersebut akan merujuk kes itu kepada Talian Bantuan Antikeganasan dan Gangguan Seksual Nasional (NAVH).

Langkah ini, kata Cik Yasmin, memastikan kes itu dapat dinilai semula menerusi proses triaj supaya langkah perlindungan yang sesuai tetap diambil.

Kini, MSF masih dalam proses memperhalusi keupayaan unit SAFER serta mendapatkan maklumat relevan daripada lebih agensi pemerintah pada masa depan, kata MSF pada 22 September.

Cik Yasmin berharap maklumat seperti rekod kesihatan juga dapat dipertimbangkan oleh unit itu pada masa depan.

Menurut Cik Yasmin, keadaan fizikal dan kesejahteraan mental penjaga boleh memberi pekerja sosial gambaran lebih holistik tentang kebolehan mereka untuk memenuhi keperluan kanak-kanak dalam situasi rentan.