Topik diikuti
Pergi ke BHkuPekerja sosial PPIS jimat masa guna AI catat nota sesi kaunseling
Pekerja sosial PPIS jimat masa guna AI catat nota sesi kaunseling
Kurang dua tahun lalu, pada April 2025, pekerja sosial dan kakitangan PPIS di Pusat Khidmat Keluarga PPIS (Timur) mula menggunakan alat rakaman dan transkripsi yang digerakkan kecerdasan buatan (AI) untuk mencatat nota kes atau ‘case notes’.
Pada Jun 2025, selepas meraih manfaat seperti mengurangkan kerja pentadbiran dan dokumentasi yang dilakukan oleh pekerja sosial, PPIS telah memperluaskan penggunaan alat pihak ketiga bernama Scribe itu ke semua lokasi perkhidmatan dan program PPIS.
Scribe ialah alat rakaman dan transkripsi yang dibangunkan oleh Open Government Products dan disokong dalam kalangan sektor perkhidmatan sosial melalui Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS).
Penolong Pengarah Infokom Teknologi, Pengurusan Kemudahan dan Perolehan di PPIS, Encik Thariq Aziz Abdul Hamid, memberitahu Berita Harian (BH), penerapan Scribe dalam proses kerja PPIS didorong oleh maklum balas pekerja sosial yang mendapati tugasan pencatatan dan pentadbiran mengalihkan perhatian daripada usaha menyokong keluarga sepenuhnya.
“Proses mencatat sesebuah kes adalah peluang paling jelas (untuk terapkan AI).
“Ini kerana mencatat sebuah sesi (kaunseling) boleh memakan masa yang lama, di samping tanggungjawab barisan hadapan lain yang dilakukan pekerja sosial, jadi Scribe diperkenalkan untuk menyokong proses ini,” ujar Encik Thariq Aziz.
Beliau akur sungguhpun ia masih dalam tempoh awal pelaksanaan Scribe, maklum balas daripada pekerja sosial sejauh ini berhubung penggunaan alat AI tersebut amat memberangsangkan kerana ia telah membantu mengurangkan kerja pentadbiran yang terkait dengan mencatat dan merakam sesebuah kes.
Oleh demikian, pekerja sosial dapat menyelesaikan nota kes dengan lebih cekap dan memberikan lebih tumpukan serta masa kepada usaha menyokong keluarga dengan lebih baik, tambahnya.
Beliau berkata: “Scribe merupakan salah satu inisiatif yang agak penting dalam usaha kami menerapkan penggunaan AI. Inisiatif ini memberikan kami peluang untuk menggunakan alat yang direka dengan mengambil kira keperluan sektor tersebut.
“Penglibatan kami dalam usaha sektor yang lebih luas ini juga membolehkan kami belajar bersama agensi-agensi perkhidmatan sosial lain, berbanding menerapkan penggunaan AI secara bersendirian.”