Menduduki peperiksaan nasional tahun ini memang amat mencabar di tengah-tengah pandemik Covid-19 yang mengubah kaedah pembelajaran. Selain itu, beberapa pelajar turut berdepan pelbagai cabaran tersendiri di peringkat individu. Wartawan BERITA HARIAN menyelami apa yang membuat anak-anak muda ini kekal berdaya tahan dalam menduduki GCE peringkat 'N' tahun ini.
MESKI pelbagai cabaran yang datang menimpa, tiada apa yang dapat menghambat Adel Affean Muhammad Affiq daripada terus melakukan yang terbaik di sekolah, sama ada dalam bidang akademik mahupun diluar bidang akademik.
Kecekalan yang ditunjukkan pelajar 16 tahun dari Sekolah Menengah Spectra ini sungguh mengagumkan.
Pelajar berkeperluan khas ini menghidapi Gangguan Spektrum Autisme (ASD) berfungsi tinggi dan sukar berinteraksi secara sosial dengan rakan di sekolah.
Di samping itu, semasa di Menengah 3, beliau didapati mengalami penyakit Crohn, sejenis penyakit radang usus yang memerlukannya memantau dietnya dengan teliti.
Ini kerana jika tidak, beliau akan mengalami kesakitan abdomen yang teruk, sekali gus menyukarkannya untuk menghadiri kelas di sekolah.
"Saya masih ingat ketika itu keadaan saya begitu teruk sehingga saya perlu dibawa ke hospital.
"Saya tidak boleh makan banyak makanan. Senang kata, diet saya amat membosankan," kongsinya.
Namun sokongan kuat daripada pihak sekolah, teman dan keluarga serta sikapnya yang positif, membantu Adel menangani kesemua cabaran itu.
Malah, beliau mampu meraih keputusan cemerlang dalam GCE peringkat ' N' dengan gred A bagi Bahasa Inggeris dan Matematik, serta gred B untuk Sains.
Dua lagi subjek yang diambilnya adalah sijil Kemahiran Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Mengimbas kembali proses sebelum peperiksaan itu, Adel berkata beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada guru yang setiap hari membantunya dalam lisan.
"Saya memang gerun sedikit apabila perlu berbual dengan orang yang tidak saya kenali.
"Mujur cikgu saya setiap hari berlatih dengan saya dan ini yang memberi saya keyakinan," katanya.
Ditanya tentang langkah selanjutnya selepas ini, Adel berkata beliau mahu meneroka sesuatu yang mempunyai kaitan dengan teknologi maklumat.
Ini berputik daripada penglibatannya dalam Kelab Robotik di sekolahnya semasa di Menengah 2, di mana hatinya mula terpaut pada gajet dan teknologi maklumat.
Beliau telah mewakili sekolahnya dalam pertandingan Game Creation semasa Cabaran ignITE tahun lalu, dan juga merupakan pembimbing utama bertanggungjawab untuk mengajar pelajar lebih muda mengenai bahasa pemprograman tahun ini.
"Spectra telah membantu menemukan saya dengan minat saya dalam robotik dan penghasilan 'game', dan siapa sangka mungkin kerjaya masa depan saya juga.
"Saya berharap dapat melanjutkan pengajian saya dalam aplikasi web di ITE kelak," tambahnya dengan nada positif.
"Saya memang gerun sedikit apabila perlu berbual dengan orang yang tidak saya kenali. Mujur cikgu saya setiap hari berlatih dengan saya dan ini yang memberi saya keyakinan... Spectra telah membantu menemukan saya dengan minat saya dalam robotik dan penghasilan 'game', dan siapa sangka mungkin kerjaya masa depan saya juga. Saya berharap dapat melanjutkan pengajian saya dalam aplikasi web di ITE kelak." - Adel Affean Muhammad Affiq, 16 tahun, dari Sekolah Menengah Spectra.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg