PELAJAR darjah enam hingga menengah tiga akan menerima undangan untuk mendaftar bagi vaksinasi Covid-19 dalam masa terdekat ini, dengan Singapura mempergiat programnya memvaksin pelajar di sini.
Semalam, memberi perkembangan terkini mengenai program vaksinasi pelajar , Menteri Pendidikan Encik Chan Chun Sing berkata undangan bagi pelajar-pelajar ini telah dikeluarkan.
Encik Chan berkata:
"Kami telah mengeluarkan bahagian ketiga undangan bagi pendaftaran vaksinasi dan ini adalah untuk pelajar menengah satu, menengah dua, menengah tiga dan darjah enam, yang layak (menerima vaksin)."
Menambah, Encik Chan berkata pendaftaran bagi pelajar di universiti autonomi dijangka dibuka minggu depan.
Program vaksinasi bagi lebih 400 pelajar di sini bermula kelmarin.
Kohort yang bakal menduduki peperiksaan GCE peringkat 'N', 'O' dan 'A' adalah kumpulan pelajar pertama untuk menerima undangan vaksinasi mereka sejak pendaftaran vaksinasi bagi pelajar dibuka pada 1 Jun.
Ini diikuti kumpulan pelajar politeknik dan pelajar tahun pertama (JC1) di maktab rendah, setelah kadar pendaftaran menunjukkan respons yang baik, kata Encik Chan.
Mengulas mengenai respons pendaftaran vaksinasi pelajar, Encik Chan berkata:
"Saya gembira untuk berkongsi bahawa kadar respons kepada undangan untuk mendaftar adalah sangat positif.
"Sehingga hari ini, lebih lima daripada enam pelajar dari kohort yang bakal menamatkan pelajaran sudah mendaftar, dan sebahagian daripada mereka, tentunya, juga sudah mengambil vaksinasi mereka."
"Respons bagi pelajar politeknik dan JC1 juga sangat baik. Sehingga hari ini, tiga daripada empat pelajar politeknik dan JC1 telah mendaftar."
Beliau menambah sekitar 13,000 pelajar telah menerima dos pertama sehingga semalam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg