Jika anda terkesan sesuatu masalah, “carilah penyelesaiannya”, kata Encik Muhammad Nor Aqil Kamis, 21 tahun, berkenaan projek yang dilaksanakan bersama dua rakan sekolah di sebuah firma kejuruteraan tempatan.
Ketika mereka masih pelajar di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pada 2024, mereka melawat firma kejuruteraan, Stewart Engineering Works, bagi projek sekolah untuk menilai kesan syarikat tempatan kepada alam sekitar dan mencari penyelesaian bagi mengurangkan sisa pencemaran.
Mereka memerhatikan juruteknik di firma tersebut – yang membekalkan peralatan untuk industri kelautan, minyak dan gas – menggunakan campuran bahan api diesel dan air untuk menyembur dan membersihkan komponen mesin selepas digunakan.
Oleh kerana proses ini menggunakan banyak cecair yang akhirnya membawa kepada pembaziran, Encik Aqil, Encik Hilman Azman dan Encik Calvin Lim, bekerjasama mencipta sebuah tangki pencuci yang membersihkan beberapa komponen mesin seperti cincin, nat dan baut dalam sistem kitar semula tertutup.
Semasa proses pencucian, gelembung udara dihasilkan melalui cecair untuk mengurangkan masa rendaman.
Cecair buangan akan ditapis, kemudian dipam semula ke dalam tangki untuk digunakan semula.
Berbanding pencucian manual, tangki ini dapat mencuci setiap muatan 20 minit lebih cepat serta membantu menjimatkan empat peratus kos elektrik dan satu peratus kos air tahunan syarikat, lapor The Straits Times (ST).
Selain itu, tangki pencuci itu turut mengurangkan beban kerja kakitangan syarikat.
“Sebelum ini, pekerja melakukan pembersihan secara manual dan perlu mengisi semula cecair. Ia boleh jadi sangat memenatkan bagi mereka. Kini, ia lebih mudah,” kata Encik Aqil.
Beliau kemudian menjalani latihan amali di Stewart Engineering Works bersama Encik Hilman dan terus mengusahakan projek tangki pencuci itu.
Pada Julai, projek yang diusahakan tiga pelajar ini memenangi Anugerah Merit dalam Inisiatif Kemampanan SME HSBC-NYAA-ITE, di mana para pelajar bekerjasama dengan perniagaan tempatan untuk mengurangkan sisa pencemaran dan pelepasan karbon.
Inisiatif bersama bank HSBC, Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA) dan ITE ini bermula pada 2020.
Wang tunai sebanyak $2,000, $1,500 dan $500, masing-masing diberikan kepada tiga projek teratas, manakala tiga projek terbaik berikutnya menerima Anugerah Merit.
Pengarah Stewart Engineering Works, Encik Kenneth Tan, berkata projek yang dijalankan para pelajar ini selari dengan matlamat syarikat untuk mengurangkan pelepasan karbon.
Encik Tan turut menegaskan kepentingan latihan amali untuk mendedahkan para pelajar seperti Encik Aqil dan Encik Hilman kepada projek yang memberi kesan sebenar kepada industri.
“Mereka merupakan sebahagian daripada proses syarikat, bukan hanya pemerhati,” kata Encik Tan.
Dari April hingga Julai 2024, mereka meneliti penyelesaian berpotensi, menguji prototaip dan mendapatkan peralatan untuk tangki tersebut.
Apabila prototaip tangki pencuci itu siap pada September 2024, syarikat terus memasang dan menggunakannya.
Semasa latihan amali mereka, Encik Aqil dan Encik Hilman, membuat kiraan bahawa tangki pencuci tersebut dapat mengurangkan pelepasan karbon tahunan syarikat daripada penggunaan elektrik dan air sebanyak 3.6 (elektrik) dan 6.9 peratus (air).
“Pada mulanya, kami tidak pasti projek ini akan berjaya. Namun (pengurangan penggunaan air itu) memberi sedikit keyakinan kepada kami,” kata Encik Hilman.
Encik Aqil, Encik Hilman dan Encik Lim kini telah menamatkan pengajian mereka di ITE dalam kursus Nitec Lanjutan Teknologi Marin dan Luar Pesisir.
Mereka sedang melanjutkan pengajian diploma masing-masing dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat di Politeknik Singapura, Republic dan Temasek.
Encik Aqil berkata, pengalaman melihat ciptaan mereka dapat memudahkan tugasan rakan sekerja dan memastikan kerja berkenaan disiapkan tepat pada masanya, sekali gus menggembirakan pelanggan, membuat mereka benar-benar rasa teruja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg