Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Pelajar kejar impian untuk tunaikan hasrat datuk dan nenek

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pelajar kejar impian untuk tunaikan hasrat datuk dan nenek

Mar 01, 2024 | 05:30 AM



Berkat iringan doa dan sokongan keluarga, Encik Hakeem Samsuri, 20 tahun, kini berjaya mencapai cita-citanya untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir dalam jurusan Shariah dan Perundangan Islam.

Menurut Encik Hakeem, yang kini mahasiswa tahun kedua di universiti itu, ia adalah hasrat datuk dan neneknya yang inginkan beliau berjaya dalam bidang ukhrawi.

“Saya gembira dapat menunaikan hasrat mereka, dan saya percaya ada barakah dalam saya menunaikan impian mereka itu,” kata Encik Hakeem.

Sebelum itu, Encik Hakeem, menuntut dalam aliran International Baccalaureate (IB) dan Aliyah di Madrasah Aljunied Al-Islamiah. Beliau menamatkan pengajiannya dengan meraih keputusan cemerlang – 44 daripada 45 mata.

Encik Hakeem bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah, beliau juga merupakan penerima anugerah Perkhidmatan Madrasah Aljunied Al-Islamiah, kerana khidmatnya sebagai presiden majlis pelajar madrasah itu.

Pencapaiannya yang cemerlang dalam bidang akademik dan juga sifat-sifat kepimpinan yang dipamerkan membuat Encik Hakeem dipilih sebagai salah seorang penerima biasiswa Syed Isa Semait (SISS) pada tahun 2022.

SISS bukan sahaja menampung yuran pengajian penerima, malah memberikan mereka elaun bulanan, elaun buku dan komputer riba serta perbelanjaan lain.

Penerima juga bakal menjalani pelbagai program pembangunan dan latihan kerja (internship). Selain itu, setelah tamat pengajian mereka akan diberikan peluang mendapatkan biasiswa possiswazah dan pekerjaan.

Menurut Encik Hakeem, peluang latihan kerja yang diberikan telah membuka matanya kepada apa yang bakal beliau hadapi setelah tamat pengajian dan mengenalkan beliau kepada golongan asatizah dalam pelbagai bidang.

“Berbual dengan mereka telah membuka perspektif saya,” katanya lagi, yang mengakui peluang yang diterima sejauh ini lebih banyak daripada apa yang biasanya dialami mahasiswa lain di peringkat yang sama.

Meskipun mendapat banyak sokongan daripada pentadbir SISS, Encik Hakeem mengakui beliau masih menghadapi cabaran menyesuaikan diri dengan persekitaran akademik yang baru serta perlu mempelajari dan sesuaikan diri dengan sistem pengangkutan di Mesir yang menggunakan van mini untuk bergerak ke mana-mana.

Namun, demi memastikan beliau dapat meraih manfaat sepenuhnya daripada tempoh pengajian di Mesir, Encik Hakeem pastikan beliau kekal berdisiplin dan menguruskan masanya dengan baik.

“Disiplin dan pengurusan masa itu penting kerana banyak perkara yang ingin saya lakukan dengan masa yang terhad. Antaranya aktiviti Perkemas (Perhimpunan Kebajikan Mahasiswa Singapura di Mesir) dan meneroka pelbagai kelas dan buku bersama pensyarah yang berbeza,” jelasnya.

Bagi menghilangkan tekanan atau setelah penat belajar, Encik Hakeem berkongsi yang beliau akan membancuh secawan teh tarik atau memasak. Beliau juga akan menghubungi keluarga dan kawan-kawan di Singapura melalui panggilan video jika rindukan mereka.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >