BAGI sebahagian pelajar, sesi persekolahan akan bermula pada 19 Mei ini, apabila sekolah-sekolah mula membenarkan pelajar kembali dalam kumpulan kecil untuk sesi pengajaran secara semuka sedang pemerintah melonggarkan langkah pemutus rantaian jangkitan Covid-19 di ini.

Mengumumkan ini dalam sidang akhbar hari ini, Menteri Pembangunan Negara, Encik Lawrence Wong, yang merupakan pengerusi bersama pasukan bertindak berkata, tumpuan diberikan kepada kohort pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama nasional.

Mereka terdiri daripada murid Darjah 6, pelajar Menengah 4 dan 5, Maktab Rendah Tahun 2 dan Pra-Universiti Tahun 3.

"Tentunya perhatian lebih terarah kepada kumpulan ini," katanya.

Institusi pendidikan tinggi seperti Institut Pendidikan Teknikal (ITE), akan juga membenarkan lebih ramai pelajar kembali ke kampus untuk konsultasi kritikal, projek atau latihan amali.

Kata Encik Wong, keseluruhan kohort tidak dibenarkan kembali tetapi keutamaan akan diberikan kepada mereka yang memerlukan kemudahan sekolah untuk pembelajaran kursus dan sesi amali, serta mereka yang memerlukan sokongan tambahan dan mediasi semasa tempoh cuti sekolah.

"Ia satu kumpulan kecil," katanya, dan menambah ia akan dijalankan dengan langkah jarak selamat dan pelajar akan ditempatkan berasingan dalam lingkungan kohort mereka.

"Kami tidak membuka keseluruhan sistem persekolahan sama sekali," jelasnya.

Malah, ia akan dijalankan secara berperingkat-peringkat.

Mulai Jun, bergantung kepada keadaan, pasukan bertindak akan menilai sejauh mana sekolah boleh dibuka dan berapa ramai pelajar boleh kembali ke sekolah.

Menteri Pendididkan, Encik Ong Ye Kung, dalam catatan Facebook hari ini berkata, "kepulangan pelajar akan dibuat dengan berhati-hari, dengan jarak selamat yang jelas".

"Mereka akan pulang dalam kumpulan kecil, pada hari pilihan dalam seminggu, sepanjang hari, dan akan dijarakkan dalam lingkungan kawasan sekolah. Mereka akan bertemu guru secara semuka, atau dalam kumpulan kecil. Pelitup wajib."

Beliau berkata: "Kami tahu bahawa pelajar yang sibuk dengan persiapan untuk peperiksaan nasional dan pembelajaran di rumah tidak dapat menggantikan sepenuhnya pembelajaran secara semuka."

Guru-guru yang bertugas semasa tempoh ini akan diberi masa rehat semasa separuh kedua Mei, sedang dua minggu pertama cuti selalunya diketepikan untuk masa rehat sepenuhnya buat guru.

"Ini merupakan sesuatu yang sering lakukan, untuk membolehkan guru punya masa rehat dan memulih tenaga, meskipun kami tahu ramai dari mereka menggunakan masa untuk melakukan pelan pengajaran dan kekal berhubungan dengan murid-murid," kata Encik Ong.