INSTITUT Pendidikan Teknikal (ITE), lima politeknik di Singapura dan TomoWork telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk menyampaikan program yang memberi impak kepada pelajar dan lulusan yang memerlukan Pendidikan Keperluan Khas (SEN).

TomoWork adalah sebuah inisiatif yang memberi fokus kepada membina tempat kerja yang lebih inklusif kepada orang kurang upaya dan berkeperluan khas.

Kerjasama itu akan menyediakan latihan kerjaya dan peluang untuk pelajar muda yang berminat dalam pekerjaan yang dituntut majikan selepas tamat pengajian.

Ini sejajar dengan Pelan Induk Pemerkasaan (EMP) 2023, yang menetapkan visi untuk Singapura menjadi masyarakat inklusif dan meningkatkan kadar pekerjaan orang kurang upaya kepada 40 peratus pada 2030.

MOU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ITE, Cik Low Khah Gek; Pengetua dan CEO Politeknik Nanyang, Encik Russell Chan; Pengetua dan CEO Politeknik Ngee Ann, Encik Lim Kok Kiang; Pengetua dan CEO Politeknik Republic, Cik Jeanne Liew; Pengetua dan CEO Politeknik Singapura, Encik Soh Wai Wah; Pengetua dan CEO Politeknik Temasek, Encik Peter Lam; dan CEO TomoWork, Encik Mike Momota.

Ia disaksikan tetamu terhormat, Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang dan Pengerusi Lembaga TomoWork, Encik Joel Leong.

Sebelum ini, terdapat kerjasama yang lebih mendalam untuk menyokong pelajar yang memerlukan SEN dalam peralihan mereka dari sekolah ke tempat kerja.

Sebagai contoh, Program Pemacu Bakat (TAP) menyediakan pelajar yang memerlukan SEN untuk kehidupan bekerja melalui sesi persediaan selama 12 minggu.

Pada 2023, TAP akan diadakan buat pertama kali di Politeknik Republik (RP) dan RP akan menjadi tuan rumah kepada 24 peserta daripada kelima-lima politeknik.

Untuk edisi ketiga TAP tahun ini, syarikat terkemuka seperti Bloomberg, EVCo, foodpanda, Google, LinkedIn, Micron, MSD, Singlife dan Standard Chartered antara lain, akan menyertai untuk menyokong memacukan peluang penyediaan kerjaya untuk pelajar memerlukan SEN.

Selain mempelajari daripada industri, peserta juga akan memperolehi kemahiran insaniah yang kritikal, kemahiran kerjaya dan kemahiran teknikal untuk menyediakan mereka pekerjaan pada masa depan.

Pada penghujung TAP, para peserta akan mempamerkan kepada orang ramai pembelajaran mereka pada Hari Demo, yang akan diadakan pada 30 Mei 2023 di RP.

Cik Low berkata banyak majikan telah menjadikan kepelbagaian sebagai salah satu nilai perniagaan teras mereka, tetapi terdapat jurang kerana mereka mungkin menghadapi cabaran dalam pelaksanaannya.

"Kami gembira kerana TomoWork dapat merapatkan jurang itu dengan menghubungkan masyarakat, majikan dan institusi pengajian tinggi untuk mengatasi cabaran ini bersama-sama.

"Kami berbangga dapat bekerjasama dengan TomoWork dalam memperkasakan pelajar memerlukan SEN untuk bersedia bekerja dan untuk masa depan," katanya.

Encik Soh pula percaya usaha bersepadu daripada politeknik, ITE dan TomoWork akan mewujudkan persekitaran sosial yang lebih inklusif di Singapura.

"Sebagai pendidik sepanjang hayat, kami berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada kerjasama bermakna di mana kami akan membentuk program latihan kerjaya bagi menyediakan pelajar untuk kerja dan hidup selepas tamat pengajian," ujar Encik Soh.

Mengulas tentang pemeteraian MOU itu, Encik Momota berkata:

"Kami amat berbesar hati berada di sini hari ini untuk meraikan kerjasama kami bersama ITE dan politeknik.

"Ini adalah keistimewaan saya untuk menyumbang kepada EMP 2030. Kami berasa bersyukur kerana dapat memberikan peluang bermakna kepada hampir 200 graduan melalui kerjasama kami."