LAPAN daripada 10 kes baru dalam masyarakat hari ini telah dikesan melalui pengawasan dan pemeriksaan kesihatan proaktif.
Dua telah dikuarantin sebelum ini, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH) lewat malam Ahad (21 Jun).
Manakala tiga kes melibatkan warga Singapura/Penduduk Tetap (PR) dengan salah satu daripadanya merupakan seorang pelajar Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Bagaimanapun, beliau belum menghadiri kelas sejak April tahun ini, kata MOH.
Kes tersebut dikesan melalui pemeriksaan kesihatan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IHL) yang menghidap jangkitan pernafasan akut (ARI) semasa berjumpa doktor.
Dua kes lain telah dikesan melalui pengawasan proaktif terhadap mereka yang bekerja atau tinggal di dormitori, walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom.
Secara purata, bilangan kes dalam masyarakat telah berkurangan daripada lapan kes dua minggu lalu kepada empat seminggu lalu.
Lagi 262 kes baru pula teah disahkan di Singapura hari ini, menjadikan jangkitan itu berjumlah 42,095 di sini.
Sementara itu, 718 pesakit Covid-19 dibenarkan pulang hari ini.
Secara keseluruhan, 34,942 pesakit telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang dari hospital atau dari kemudahan masyarakat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg