SEORANG pelajar yang kembali ke Singapura dari Britain dengan tanda penyakit flu didakwa melanggar perintah Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) yang dikenakan ke atasnya dengan makan di pusat makanan di Terminal 1, Lapangan Terbang Changi.
Esther Tan Ling Ying yang kemudian diuji positif Covid-19 juga dikatakan menipu tentang sejarah perjalanannya apabila dia bertemu doktor di Clementi pada hari yang sama, lapor akhbar The Straits Times.
Wanita 24 tahun itu kembali ke Singapura pada 23 Mac tahun lalu dan dikenakan SHN yang memerlukannya tidak meninggalkan kediamannya selama 14 hari.
Namun sebelum pulang ke rumah, dia dengan sengaja makan di pusat makanan itu bersama ibu bapanya.
Dia juga ke Klinik Clementi Family & Aesthetic di Clementi Avenue 3, berhampiran rumahnya, bagi mendapatkan ubat.
Pada Selasa (9 Mac), Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Sanjiv Vaswani, menyifatkan perbuatan Tan sebagai menimbulkan kebencian di samping memberitahu mahkamah Tan mempunyai tanda jangkitan flu sebelum berangkat dari Britain. Dia diuji positif Covid-19 sejurus tiba di Singapura.
Di dalam kenyataan pembukaan pada hari pertama perbicaraan, DPP Sanjiv berkata setiap orang mempunyai peranan melawan pandemik ini dengan kebanyakannya patuh pada undang-undang.
"Namun, segelintir daripada penduduk kini tidak memikirkan undang-undang yang dikenakan ke atas mereka...Yang tertuduh Esther Tan adalah salah seorang daripada penduduk ini. Dia tiada alasan langsung untuk melanggar SHN," kata DPP Sanjiv.
Ibu bapa Tan dan teman terdekat keluarganya hadir di mahkamah.
Jika didapati bersalah, dia boleh didenda hingga $10,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg