AKTIF dalam pelbagai aktiviti kegiatan kokurikulumnya (CCA), Encik Muhammad Elyas Amir Suhardi dikenali sebagai pemimpin serba boleh yang telah menyumbang kepada banyak inisiatif Maktab Rendah Anglo-Chinese (ACJC).
Walaupun menggalas pelbagai peranan dalam CCA seperti ketua perhubungan awam dalam jawatankuasa eksekutif Majlis Pelajar, setiausaha dalam pasukan ragbi serta anggota jawatankuasa eksekutif Persatuan Kebudayaan Melayu (MCS), ia tidak menghalang Encik Elyas daripada mencapai kecemerlangan di sekolah.
Pelajar ACJC itu adalah salah seorang daripada pelajar yang menerima keputusan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'A' minggu lalu.
Beliau yang mengambil mata pelajaran Geografi dan Kimia di peringkat H1 dan Ekonomi, Matematik di peringkat H2, bersyukur dengan keputusan yang diterima.
Secara keseluruhan, Encik Elyas telah meraih dua gred A dan empat gred B.
Anak muda berusia 19 tahun itu berkata beliau sering mengorbankan masa lapangnya menghabiskan kerja sekolahnya.
"Dari Isnin hingga Sabtu, hari-hari saya sibuk.
"Selepas sekolah, saya menyertai kegiatan CCA yang berlainan setiap hari. Kadangkala aktiviti yang saya lakukan akan selesai hanya pada lewat malam.
"Jadi, saya menggunakan masa perjalanan saya ke sekolah dan pulang ke rumah untuk mengulang kaji pelajaran.
"Bagi saya, ini adalah cara saya memaksimumkan masa dalam sehari dan tidak ketinggalan di sekolah," jelas beliau.
Mengimbangi masanya dengan menyediakan jadual setiap minggu, Encik Elyas berkata ia juga membantunya fokus dan memberi tumpuan kepada kegiatan tertentu.
Sebagai ketua perhubungan awam dalam jawatankuasa eksekutif Majlis Pelajar, beliau menerajui inisiatif kreatif untuk menghasilkan kandungan yang menarik.
Sebagai contoh, beliau telah memulakan satu siri kandungan Instagram yang menerangkan tentang perayaan pelbagai kaum dan budaya, dengan harapan dapat menggalakkan persefahaman antara kaum dan budaya yang lebih meluas.
Sebagai setiausaha pasukan ragbi sekolahnya, Encik Elyas sering berkongsi pengalaman dan kepakarannya kepada ahli pasukannya yang kurang berpengalaman.
Dengan kepimpinannya, pasukannya berjaya mencapai tempat ketiga secara keseluruhan dalam Sukan Sekolah Kebangsaan Kejohanan 2022 Ragbi 7s Bahagian A Lelaki.
Disebabkan penglibatan aktif dan pencapaian holistik yang cemerlang ketika di ACJC, beliau juga telah diiktiraf sebagai ahli Daftar Kehormat Pengetua pada 2022.
Anak kedua daripada tiga beradik itu juga berhasrat untuk menjadi seorang guru matematik pada masa akan datang.
Katanya, minat itu berputik ketika melihat kedua ibu bapanya yang berkhidmat sebagai guru sekolah sebelum ini.
"Saya membesar dengan melihat ibu bapa saya sebagai guru sekolah dan tertarik dengan apa yang mereka dapat lakukan sebagai guru.
"Dalam masa akan datang, saya berharap dapat meningkatkan piawaian pendidikan di Singapura melalui pengalaman saya sebagai pelajar semasa mengharungi pengalaman Covid-19.
"Saya ingin menyumbang kepada sektor ini dengan pengetahuan penggunaan teknologi dan juga bagaimana kita dapat sesuaikan pembelajaran dalam talian mengikut keadaan," katanya yang sedang menanti untuk menjalani Perkhidmatan Negara (NS).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg