PELAJAR Singapura muncul terbaik dalam kecekapan global yang diperlukan untuk hidup dalam dunia yang saling berkait dan pesat berubah.
Hasil dapatan domain Kecekapan Global (GC) Program bagi Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa) mendapati pelajar Singapura berusia 15 tahun menunjukkan keupayaan tinggi untuk memahami dan bertindak mengenai isu silang budaya dan global, serta menunjukkan kemahiran komunikasi silang budaya yang baik.
Antaranya, dapatan tersebut menunjukkan bahawa dalam memahami perspektif orang lain, 73 peratus pelajar Singapura akan cuba memahami rakan mereka dengan lebih baik. Ini dilakukan dengan membayangkan sesuatu daripada perspektif rakan tersebut.
Ini berbanding 64 peratus pelajar sebaya di negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) lain.
Mengambil kira prestasi pelajar dalam membaca, matematik dan sains dalam perhitungan prestasi relatif dalam persaingan sejagat, Singapura merupakan antara enam negara terbaik di samping negara termasuk Canada, Colombia, Israel, Scotland (United Kingdom) dan Sepanyol.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg