Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon veteran Rafaat Hamzah akhiri 2025 dengan berbasikal 700km selama 9 hari

Jan 11, 2026 | 5:30 AM
Pelakon veteran, Rafaat Hamzah, berbasikal 700km selama 9 hari
Antara mereka yang menyertai Rafaat Hamzah (kanan) dalam ekspedisi berbasikal secara santai di Thailand selama sembilan hari adalah Encik Ariffin Abdullah (kiri) dan Encik Abdul Rahim Kassim. - Foto ihsan RAFAAT HAMZAH

Berbeza daripada kebanyakan orang yang memilih untuk melancong dan menikmati pemandangan pantai, pelakon veteran Rafaat Hamzah lebih gemar menguji diri dengan kegiatan mencabar dan lasak semasa menamatkan 2025.

Pada usia 60 tahun, beliau – yang sudah pun bergelar datuk – berbasikal sejauh 700 kilometer (km) merentasi Tak Bai ke Koh Samui dan The Koh Samui Round Island di Thailand dalam tempoh sembilan hari, melalui iklim seperti hujan dan panas mentari, serta mendaki kawasan bercuram.

Beliau, yang melakukan kegiatan itu bersama sekumpulan rakannya, menganggapnya sebagai “sekadar aktiviti bersahaja”. Malah juga berkata kegiatan itu cerminan disiplin yang diterapkannya selama bertahun.

Ketika ditemui Berita Minggu (BM), bapa kepada enam orang anak itu berkata beliau pernah membenci kegiatan berlari – sehinggalah ia menjadi aktiviti yang membantunya kembali sihat dan segar.

“Pada 2018, saya berpeluang mendaki Gunung Phan Xi Pang di Vietnam – pendakian gunung pertama saya selepas bertahun lamanya.

“Ketika pendakian itu, saya sedar diri saya masih ‘berat’ dan terkial-kial... itulah detik yang mendorong saya mahu kembali aktif dan cergas,” katanya yang juga mesra dikenali sebagai ‘Chip Par Aat’

Apabila beliau kembali ke Singapura, jadual kerja semakin padat sehinggakan beliau kerap berasa letih, namun sukar untuk tidur lena.

“Sahabat saya sarankan untuk cuba berlari sehingga badan terasa penat. Katanya kalau badan rasa penat, pasti boleh tidur,” jelasnya.

Beliau pun bermula secara beransur-ansur – larian 2km, kemudian 3km, seterusnya 10km – dan tidak lama kemudian menyedari bahawa kegiatan berlari itu memberinya ketenangan jiwa.

“Berlari ini agak terapeutik… kita ketepikan semua kerja, semua kerisauan, dan hanya fokus pada larian,” kata beliau yang kini sering bersenam.

Menurutnya, beliau juga mendapat inspirasi daripada rakan-rakan yang seusia dan yang lebih tua, yang juga kian aktif dalam menjalani gaya hidup sihat sedang usia meningkat.

Hasil daripada tabiat tersebut akhirnya mendorong beliau menyertai acara sukan lasak Spartan Race buat kali pertama pada Jun 2024, sebelum menyempurnakan cabaran Spartan Weekend Trifecta di Kuala Lumpur pada Oktober tahun yang sama.

Acara Spartan merangkumi litar sejauh 5-50km, dengan setiap perlumbaan menampilkan lebih 20 halangan ikonik seperti memanjat tali, ayunan multi-rig yang mencabar serta lontaran lembing yang memerlukan kekuatan.

Beliau kemudian menyertai pula Spartan Weekend Trifecta pada Oktober 2024, merangkumi tiga acara yang berlangsung sepanjang hujung minggu, iaitu perlumbaan sejauh 21km dengan 30 halangan, 10km (25 halangan) dan 5km (20 halangan).

Datuk seorang cucu itu bertanding dalam kategori terbuka (bukan kompetitif) dan membuat kejutan apabila berjaya menduduki tempat pertama dalam kumpulan usia 55 tahun ke atas.

Meskipun dalam lingkungan usia 50-an, Rafaat Hamzah berjaya menawan cabaran Spartan Race dan Spartan Weekend Trifecta pada 2024 yang merangkumi perlumbaan jarak jauh sambil mengatasi halangan di setiap jarak.
Meskipun dalam lingkungan usia 50-an, Rafaat Hamzah berjaya menawan cabaran Spartan Race dan Spartan Weekend Trifecta pada 2024 yang merangkumi perlumbaan jarak jauh sambil mengatasi halangan di setiap jarak. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Antara cabaran yang perlu ditempuh termasuk merangkak di bawah dawai berduri, memanjat tali serta pelbagai ujian fizikal lain.

Walaupun pernah mengalami kecederaan bahu sebelum itu, Rafaat berjaya menamatkan kesemua halangan tersebut.

“Sebagai persediaan, saya berlari sekitar 30km setiap minggu, kebanyakannya seorang diri, selain melakukan senaman kekuatan seperti tekan tubi, bangkit tubi dan lain-lain,” kata penggiat seni itu.

Tambahnya lagi: “Saya datang bukan untuk bersaing, tapi untuk menamatkan perlumbaan.”

Menurut Rafaat, sebagai anak seni ia penting baginya untuk mengekalkan gaya hidup sihat demi menyampaikan karya yang bermutu.

Meskipun berehat seketika pada 2025 akibat jadual kerja yang padat dan tidak dapat menyertai acara maraton atau sukan lain, Rafaat tetap meluangkan masa untuk berkayuh basikal secara santai bersama rakan-rakannya di Thailand – satu bukti bahawa gaya hidup aktif terus menjadi sebahagian daripada dirinya.

“Saya akui kayuhan santai ini bukan mudah. Kami terpaksa berdepan hujan selama dua hari, pendakian curam serta keletihan akibat daya tahan fizikal,” katanya, sambil menambah bahawa beliau menyertai kembara itu bersama tujuh rakan lain yang juga dalam lingkungan usia yang sama.

Menurut beliau, mereka mengayuh secara purata sejauh 70km sehari.

Beliau turut menegaskan kejayaannya tidak lepas daripada sokongan dan dorongan keluarga, khususnya isterinya, Cik Alisa Abu Bakar, 45 tahun.

“Isteri saya tahu saya seorang yang gemar aktiviti luar. Beliau tidak pernah menghalang apa yang saya ingin lakukan. Malah, beliau orang pertama yang saya rujuk mengenai tahap kesihatan dan persediaan diri memandangkan beliau seorang jururawat,” katanya.

Bagi Rafaat, segala pencapaian ini adalah cara untuk beliau membanggakan keluarganya.

“Ramai yang kata saya sudah lanjut usia, tetapi bagi saya, penuaan itu bukan alasan untuk menghalang saya daripada melakukan apa yang baik untuk diri saya,” katanya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg