SINGAPURA akan mengemas kini strategi perumahan dan perancangan untuk mencerminkan keprihatinan dan aspirasi semasa serta menjadikannya rancangan terperinci dalam pelan induk mendatang, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.
Semakan Pelan Induk akan dijalankan bagi dua hingga tiga tahun mendatang yang akan menghasilkan rancangan pembangunan dan penggunaan tanah bagi 10 hingga 15 tahun lagi serta lebih terperinci daripada Pelan Jangka Panjang, yang membentangkan pembangunan bagi 50 tahun mendatang.
Menurut Encik Lee, kompak sosial berkaitan perumahan akan disegarkan agar perumahan terus dimampui dan dapat diakses warga.
Kementerian Pembangunan Negara (MND) adalah antara lima kementerian yang menggariskan rancangan mereka dalam Adendum (kenyataan tambahan) Ucapan Presiden, pada Selasa.
Presiden Halimah Yacob telah menyampaikan ucapan semasa pembukaan Parlimen ke-14 pada 10 April, yang membentangkan keutamaan pemerintah bagi baki penggal khidmat.
Empat kementerian lain - Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Pendidikan (MOE), Tenaga Manusia (MOM) dan Kesihatan (MOH) telah menggariskan pelan masing-masing dalam mewujudkan meritokrasi lebih luas dan inklusif serta masyarakat inklusif dengan peluang dan jaminan sepanjang hayat untuk rakyat.
Menjelaskan lebih lanjut, Encik Lee berkata lapan dalam 10 isi keluarga Singapura menetap di flat HDB hari ini.
Justeru, program perumahan awam dan dasar harus terus dikemas kini sedang negara ini membangun, norma masyarakat berubah dan penduduk semakin menua dengan hampir satu dalam empat warga akan berusia 65 tahun ke atas menjelang 2030.
Kini juga terdapat lebih ramai golongan bujang dan mereka menjaga pesakit, serta lebih ramai rakyat muda yang mahu hidup berdikari, tambah Encik Lee.
"Selain itu, estet perumahan awam dan flat HDB semakin tua. Banyak estet tidak matang juga telah menjadi lebih membangun.
"Kami akan menyegarkan kompak sosial berkaitan perumahan agar perumahan terus dimampui dan diakses serta estet kita kekal inklusif, kohesif dan mapan," ujar Encik Lee.
Beliau turut menggariskan keutamaan kementeriannya, yang termasuk menyokong keluarga yang membeli rumah pertama mereka, memastikan flat baru di kawasan utama inklusif serta memadankan perumahan dan sokongan sosial proaktif bagi keluarga bergaji rendah.
Sementara itu, dalam adendum dua kementerian, MOM dan MOE berkata ia akan menghulurkan lebih banyak sokongan untuk meluaskan tafsiran kejayaan.
Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, berkata ini akan dijalankan dengan pelaksanaan Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (FSBB) di sekolah menengah tahun depan.
Dalam adendum MOM, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, berkata ia akan bekerjasama dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) untuk mengkaryawankan bidang kerja berkemahiran yang menawarkan gaji lebih baik dan tangga kemajuan kerjaya lebih jelas.
MSF dan MOH pula menggariskan pelan bagi mencapai masyarakat inklusif yang menyediakan peluang dan jaminan sepanjang hayat rakyat.
Menurut Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, kementeriannya akan mengkaji pilihan penjagaan baru selain kemudahan penjagaan bayi, bagi memenuhi keperluan dan keutamaan yang pelbagai.
MOH pula akan terus memajukan Program bagi Penyelidikan dalam Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Epidemik, atau 'Prepare', jelas Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Laporan lanjut:


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg