LANGKAH pengurusan selamat bagi pelawat di semua wad hospital dan rumah penjagaan akan diperketat bagi empat minggu, mulai 14 Oktober hingga 10 November, sedang jumlah kes Covid-19 dalam masyarakat kian meningkat.

Kementerian Kesihatan (MOH) berkata pesakit hanya akan dibenarkan dua pelawat yang ditetapkan, dengan hanya seorang daripada mereka dibenarkan berada di sisi katil pesakit pada satu masa.

Pesakit yang berada dalam keadaan kritikal akan dibenarkan hingga lima pelawat yang ditetapkan, dengan dua daripada mereka dibenarkan berada di sisi katil pesakit pada satu masa.

Setiap lawatan pula akan dihadkan kepada setengah jam.

Mereka yang menginap di rumah penjagaan pula dibenarkan hingga empat pelawat yang ditetapkan, dengan hanya seorang pelawat dibenarkan bersama mereka pada satu masa, hingga setengah jam.

Pelawat ke hospital dan rumah penjagaan harus memastikan mereka dalam keadaan sihat dan amat digalak menjalani ujian pantas antigen (ART) pada hari mereka mengadakan lawatan itu.