Persatuan Rakyat (PA) dan Wisma Geylang Serai (WSG) akan mempertimbangkan pelbagai faktor seperti skala dan tempoh masa serta keadaan semasa, apabila menyemak rangka kerja sewa gerai Bazar Raya Geylang Serai pada tahun-tahun akan datang, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) pembangkang, Encik Louis Chua (GRC Sengkang), berhubung kos sewa gerai Bazar Raya Geylang Serai di Parlimen pada Rabu.
Pada Oktober 2023, ia diumumkan bahawa had sewa maksimum sebanyak $15,000 ditetapkan bagi setiap gerai untuk Bazar Raya Geylang Serai 2024.
Ini menyusuli maklum balas dan keprihatinan orang ramai, khususnya peniaga mengenai kos sewa gerai Bazar Geylang Serai yang tinggi.
Berita Harian (BH) sebelum ini melaporkan bahawa sewa maksimum $15,000 itu adalah 40 peratus lebih rendah berbanding harga sewa gerai pada 2023 yang mencecah hingga $25,000.
Encik Tong berkata WGS memperkenalkan had sewa itu selepas mengambil kira maklum balas yang diterima daripada pihak berkepentingan.
Ini di samping pertimbangan bahawa bazar 2024 kemungkinan diadakan pada skala lebih kecil disebabkan kerja pembangunan semula Jalur Budaya Geylang Serai dan juga tempoh anjuran bazar yang lebih pendek.
Menjelaskan lanjut tentang mekanisme di sebalik mengira kos sewa bazar, Encik Tong berkata pihaknya telah meneliti purata kos sewa gerai bazar pada 2023, jumlah gerai dan tempoh bazar diadakan.
“Secara keseluruhan, apabila kami menghitung purata sewa pada 2023 berbanding bilangan gerai yang sedia ada, purata sewa ialah sekitar $500 sehari. Had yang akan diperkenalkan pada 2024 direka untuk mengekalkan kos sewa kira-kira pada tahap yang sama atau rendah sedikit.
“Yang penting adalah terdapat asas tertentu yang mana pengendali gerai kini boleh membida bagi gerai mereka dengan adanya had ini. Dan setakat itu, terdapat kepastian,” kata beliau.
Namun, Encik Tong berkata terdapat beberapa faktor lain, seperti keadaan semasa, skala dan tempoh bazar, yang kadangkala berbeza setiap tahun dan pihaknya akan mengambil kira faktor tersebut dalam anjuran bazar pada tahun-tahun akan datang.
“Kami akan meneliti keadaan keseluruhan supaya dapat mencapai pengalaman optimum untuk kedua-dua pihak berkepentingan dan juga pelanggan,” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg