Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelbagai kegiatan dianjur sempena bulan kesedaran barah buah dada

Oct 2, 2021 | 5:30 AM
TINGKAT KESEDARAN: Sempena kempen Bulan Kesedaran Barah Buah Dada pada Oktober ini, syarikat pemasaran dan pengiklanan DDB Group Singapore telah menghulurkan kepakaran dan sokongan mereka kepada Yayasan Barah Buah Dada (BCF) untuk antara lain, menghasilkan iklan cetak menampilkan dua wanita penggemar sukan ekstrem yang menarik perhatian tentang kadar kejadian barah buah dada yang mengejutkan. - Foto Yayasan Barah Buah Dada (BCF)
TINGKAT KESEDARAN: Sempena kempen Bulan Kesedaran Barah Buah Dada pada Oktober ini, syarikat pemasaran dan pengiklanan DDB Group Singapore telah menghulurkan kepakaran dan sokongan mereka kepada Yayasan Barah Buah Dada (BCF) untuk antara lain, menghasilkan iklan cetak menampilkan dua wanita penggemar sukan ekstrem yang menarik perhatian tentang kadar kejadian barah buah dada yang mengejutkan. - Foto Yayasan Barah Buah Dada (BCF) -

PERANGKAAN Pendaftaran Barah Selama 50 Tahun oleh Pejabat Pendaftaran Barah Singapura yang diterbitkan pada 2019 mendapati enam wanita disahkan menghidap barah buah dada dan seorang wanita meninggal dunia dek penyakit itu setiap hari.

Satu daripada 13 wanita di Singapura akan menghidapi barah buah dada sepanjang hayat mereka - jauh lebih tinggi berbanding kadar kejadian satu daripada 45 wanita 50 tahun yang lalu.

Disebabkan keprihatinan itu, kempen kesedaran barah buah dada tahun ini akan memberi tumpuan kepada kadar kejadian yang semakin meningkat dalam kalangan wanita yang didiagnos dengan penyakit itu di Singapura, kata Yayasan Barah Buah Dada (BCF) sempena Bulan Kesedaran Barah Buah Dada pada Oktober ini.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai tentang barah buah dada, yayasan itu akan mengadakan pelbagai kegiatan yang boleh disertai bukan hanya wanita, tetapi seluruh masyarakat.

Sebagai sebahagian daripada kempen mereka itu, syarikat pemasaran dan pengiklanan DDB Group Singapore telah menghulurkan kepakaran dan sokongan mereka kepada BCF untuk menghasilkan iklan cetak dan video.

Ini termasuk iklan cetak menampilkan dua wanita penggemar sukan ekstrem yang menarik perhatian tentang kadar kejadian barah buah dada yang mengejutkan, dan video yang mengingatkan semua wanita tentang kepentingan pemeriksaan kesihatan buah dada.

Di samping itu, satu lagi iklan video akan menampilkan sekumpulan wanita berlainan usia dan latar belakang untuk menunjukkan bagaimana barah buah dada boleh menjejas sesiapa saja.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, yang juga penaung BCF, berkata sumbangan wanita kepada Singapura adalah amat penting, dan pemerintah mahu mempertingkat semua aspek pembangunan dan kesejahteraan wanita.

"Ini termasuk kesihatan wanita. Oktober ialah Bulan Kesedaran Barah Buah Dada dan saya menggalak semua wanita menjaga kesihatan buah dada mereka, dan memerangi barah buah dada menerusi pengesanan awal," kata beliau.

Sempena Bulan Kesedaran Barah Buah Dada ini, lokasi ikonik seperti Taman Di Persisiran dan Galeri Nasional Singapura akan bermandikan cahaya merah jambu.

BCF mengundang orang ramai mengambil gambar dan memuat naik gambar tersebut di media sosial dengan tanda pagar #BCFBCAM2021 dan #PinkLightUp untuk menggalak keluarga dan rakan mereka melakukan mamogram dengan kerap dan pemeriksaan buah dada sendiri setiap bulan.

Satu lagi kegiatan yang akan diadakan ialah 'Pink Ribbon Walk', iaitu acara berjalan yang diadakan dalam talian.

Orang ramai boleh melungsuri laman www.bcf.org.sg/pinkribbonwalk2021 untuk maklumat lanjut.

Antara lain, BCF mengajak individu membeli barangan berwarna merah jambu untuk menyokong masyarakat barah buah dada sambil menyebarkan kesedaran tentang penyakit itu.

Pelbagai pertubuhan, termasuk cawangan makanan dan minuman (F&B), kedai fesyen dan penyedia perkhidmatan, akan mendermakan sebahagian hasil penjualan produk dan pakej runcit khas bulan ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg