Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelitup muka bukan satu-satunya perlindungan terhadap virus, kata pakar

Apr 23, 2020 | 1:27 PM
GUNA PELITUP: Meskipun peranan pelitup muka dalam menghentikan penularan virus adalah kecil, ia mengingatkan semua orang bahawa mereka harus bersikap berjaga-jaga dan mengamalkan perkara seperti jarak selamat apabila di luar rumah.
GUNA PELITUP: Meskipun peranan pelitup muka dalam menghentikan penularan virus adalah kecil, ia mengingatkan semua orang bahawa mereka harus bersikap berjaga-jaga dan mengamalkan perkara seperti jarak selamat apabila di luar rumah. - - Foto BH oleh GAVIN FOO

DUA bulan lalu, pemerintah menggesa orang ramai untuk menggunakan pelitup muka hanya jika mereka tidak sihat.

Kini, setiap orang dikehendaki memakai pelitup muka apabila keluar rumah, melainkan mereka sedang bersenam. Jika tidak, mereka akan dikenakan denda $300.

Dekan Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock di Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Teo Yik Ying, berkata perubahan dalam nasihat itu dilakukan selepas lebih banyak maklumat diketahui tentang koronavirus yang telah menyebabkan pandemik sejagat itu.

"Sedang negara-negara di dunia mula lebih tahu (tentang virus), dasar perlu diubah sewajarnya," kata beliau, dalam satu laporan The Straits Times, hari ini.

Tambahan, Singapura kini dalam fasa wabak yang berbeza dan respons terhadap virus itu memerlukan alat yang lain.

Apabila virus itu baru menular di sini, terdapat hanya beberapa kes jangkitan sehingga awal Februari.

Namun, terdapat lebih 1,000 kes jangkitan baru setiap hari.

Namun, Profesor Teo berpendapat bahawa pelitup muka tidak begitu penting dalam mencegah penularan virus itu meskipun beliau juga berkata menggunakan pelitup muka memainkan peranan penting dalam perjuangan Singapura terhadap Covid-19.

Beliau menjelaskan mengapa pelitup muka tidak banyak memberi perlindungan.

Dengan hanya segelintir orang yang menggunakan pelitup muka pada Februari lalu, jumlah jangkitan ketika itu sepatutnya jauh lebih tinggi "jika pelitup muka begitu penting sekali dalam mencegah penularan dan jangkitan", kata beliau.

Konsultan penyakit berjangkit kanan di NUS, Profesor Dale Fisher, pula berkata penggunaan pelitup muka merupakan "satu peringatan tetap untuk berhati-hati dan untuk melakukan perkara...seperti jarak sosial, tidak keluar rumah melainkan anda benar-benar perlu, dan membasuh tangan".

Bagaimanapun, peranan pelitup muka dalam menghentikan penularan virus adalah kecil, terutamanya jika orang ramai mengamalkan jarak sosial.

"Virus ini tidak terapung di jalanan begitu saja. Anda perlu benar-benar rapat dengan seseorang atau menyentuh permukaan yang telah terdedah kepada virus."

"Ia bukan tentang menapis udara yang anda sedut. Ia tentang mengubah tingkah laku," kata beliau.

Pengarah Eksekutif Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), Profesor Leo Yee Sin, berkata terdapat banyak perbahasan mengenai keberkesanan pelitup muka bukan hanya semasa pandemik semasa ini, malah bagi wabak pernafasan lain termasuk influenza.

Orang ramai tidak harus melihat pelitup muka sebagai satu-satunya perlindungan, kata beliau, tetapi sebagai sebahagian daripada langkah berjaga-jaga.

"Ia (Pelitup muka) sentiasa mengingatkan kita bahawa kita berada dalam tempoh masa yang luar biasa dan saya berharap tanggapan sedemikian akan membantu kita memahami sepenuhnya kepentingan tanggungjawab sosial," kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg