Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peluang lihat komet secara jelas di S’pura

Oct 16, 2024 | 6:32 PM
Komet C/2023 A3 (Tsuchinshan–Atlas) ini boleh dilihat dengan lebih jelas di kawasan Woodlands pada 15 Oktober dengan menggunakan teleskop bijak. Ia juga dapat dilihat dengan mata kasar di kawasan yang tidak terlindung dengan kurangnya ‘pencemaran’ cahaya.
Komet C/2023 A3 (Tsuchinshan–Atlas) ini boleh dilihat dengan lebih jelas di kawasan Woodlands pada 15 Oktober dengan menggunakan teleskop bijak. Ia juga dapat dilihat dengan mata kasar di kawasan yang tidak terlindung dengan kurangnya ‘pencemaran’ cahaya. - Foto ihsan MUHAMMAD RIDHWAN IBRAHIM

Peminat astronomi boleh melihat dengan jelas komet yang biasanya sukar dipandang dengan mata kasar pada sebelah malam antara 14 dengan 20 Oktober ini tanpa menggunakan teropong atau teleskop.

Masyarakat astronomi di Singapura berkata Komet C/2023 A3 (Tsuchinshan–Atlas) – yang dikesan di ruang udara Singapura sejak beberapa minggu lalu semasa sejam sebelum matahari terbit – lebih mudah dilihat di bahagian barat Singapura dari 11 Oktober hingga 22 Oktober dengan ‘pencemaran cahaya’ yang minimum.

Pencemaran cahaya bermaksud pancaran cahaya daripada bangunan ataupun struktur buatan manusia yang menjejas pandangan langit semula jadi.

Balai Cerap Pusat Sains (SCOB) berkongsi bahawa komet tersebut berkemungkinan besar dapat dilihat antara 14 Oktober dengan 20 Oktober, dan ia juga dapat dilihat menggunakan mata kasar sahaja.

Penolong Setiausaha Kehormat Persatuan Astronomi Singapura (Tasos), Dr Koh Wee Ming, berkata mereka yang berminat boleh melihat komet tersebut kerana ia terbenam lagi lewat daripada matahari di barat.

Beliau menambah bahawa jarak komet dan matahari meningkat setiap hari, dan ia akan tetap dapat dilihat di langit buat masa yang lebih lama sebelum ia terbenam.

“Sekiranya anda tidak dapat melihatnya pada satu malam, cuba lagi pada malam berikutnya. Terus mencuba dan jangan berputus asa,” tambahnya.

Anggota jawatankuasa eksekutif Tasos, Encik Muhammad Ridhwan Ibrahim, 35 tahun, berjaya melihat komet tersebut menggunakan teleskop bijaknya daripada kawasan rumahnya di Woodlands pada 15 Oktober.

“Saya amat gembira kerana baru pertama kali melihat komet ini di Singapura dengan menggunakan teleskop bijak,” kongsi beliau.

SCOB menasihati bahawa untuk melihat komet tersebut, orang ramai sepatutnya mencari lokasi yang mempunyai pandangan yang tidak terhalang dan mempunyai pencemaran cahaya yang sedikit.

SCOB akan menganjurkan sesi tontonan maya pada 17 Oktober dari 7 malam hingga 8 malam, jika cuaca mengizinkan.

Siaran langsung daripada teleskop mereka akan disiarkan di saluran YouTube Pusat Sains Singapura.

Presiden Tasos, Encik Soh Kim Mun, berkongsi keistimewaan menyaksikan komet ini.

“Komet Tsuchishan ini akan dianggap ketiga terbaik sejak 1996 kerana ‘ekor’ debunya panjang dan boleh dilihat di Singapura,” kongsinya.

“Yang terbaik adalah pada 1996, komet Hyakutake, di mana ekor debunya melintasi ruang udara Singapura ketika kami perhatikannya dari Tanah Perkuburan Bukit Brown.”

“Sudah sekitar 28 tahun yang lalu sejak kita dapat melihat komet yang terang di Singapura,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg