SEBAGAI orang Islam, sepertimana kita prihatin dalam mendapatkan makanan halal, adalah penting juga kita melakukan demikian apabila berkaitan dengan proses pelaburan.
Demikian yang ditekankan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pergas Investment Holdings Pte Ltd, Dr Shamsiah Abdul Karim.
Beliau yang turut diundang dalam podcast #NoTapis bersama Pengarah Perkhidmatan Kewangan, Encik Qayyim Isa daripada Taqwa telah mengongsi pandangannya mengenai pelaburan yang berlandaskan syariah.
Menurutnya oleh kerana masyarakat Melayu/Islam tinggal dalam masyarakat sekular, pengetahuan tentang pelaburan patuh syariah ini masih kurang dan masih ramai yang tidak tahu riba hasil daripada pelaburan itu adalah haram.
"Kehidupan kita bukan hanya di dunia tetapi kita hendak akhirnya iaitu di akhirat, di mana setiap kelakuan kita dipertanggung jawabkan," ujarnya. Menerima lebih daripada apa yang dipinjamkan itu adalah riba, tambahnya.
Dr Shamsiah turut menjelaskan bahawa dana pelaburan patuh syariah boleh didapati dalam sektor teknologi dan makanan kerana ia dianggap sebagai pelaburan halal, di mana ia membangunkan ekonomi.
Dr Shamsiah kemudian berkata bahawa di dalam kewangan Islam, ada cara-cara pulangan pelaburan yang ditetapkan.
"Perumpamaannya, ijarah atau penyewaan sewa rumah atau kereta dibolehkan kerana kita gunakan kaedah penyewaan iaitu dalam istilah bahasa Inggerisnya, leasing," kata Dr Shamsiah. Contoh lain tentang pulangan pelaburan tetap adalah menerusi pelaburan CPF, katanya lagi.
Untuk memberi jaminan bahawa syarikat atau sektor pelaburan itu mematuhi syariah, syarikat atau sektor tersebut, mesti mendapat pengiktirafan berlandaskan syariah.
Dr Shamsiah sendiri membuat pengesahan syariah untuk kontrak-kontrak bagi unit kewangan gadai janji bagi negeri Australia dan negeri-negeri yang berlandaskan syariah. "Ada panel bertauliah dalam bidang-bidang ini. Di Singapura, ada lima pakar syariah yang duduk dalam jawatankuasa syariah yang menganalisa setiap kontrak," kata Dr Shamsiah.
Antara yang dipantau pakar syariah tentang syarikat atau sektor tersebut ialah memastikan agar syarikat atau sektor tersebut tidak mempunyai kadar hutang yang tinggi. Dalam pada itu, adalah penting bagi masyarakat Islam merancang kewangan atau harta pusaka mengikut syariah, kata Dr Shamsiah.
"Kalau kita ikutkan Imam Al-Ghazali dalam kitabnya, beliau mengatakan tentang hifzulmal atau penjagaan harta yang menjadi salah satu daripada lima teras keperluan utama yang menjadi tujuan penurunan syariat Islam atau maqasid al-syariah. Maqasid al-syariah ialah asas dan polisi utama kehidupan beragama," kata Dr Shamsiah.
Secara kesimpulan, Dr Shamsiah menyarankan agar masyarakat Melayu/Islam menceburi pelaburan patuh syariah agar dapat menerima pulangan pelaburan yang barakah.
"Kita nak barakah, jadi kita kena faham tentang pulangan sebab ada sektor-sektor dalam Islam yang tidak membenarkan pelaburan seperti perjudian yang memberi pulangan tinggi tetapi tiada keberkatan. Islam ini melengkapi kerana ia melindungi masyarakat kita agar perkara yang banyak memberi kerosakan pada nilai manusia dijauhkan," kata Dr Shamsiah.
Untuk lebih banyak maklumat mengenai Dana Terpelbagai Global Syariah AIA, hubungi wakil pelaburan AIA anda atau lungsuri laman aia.com.sg


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg