SETELAH lama menanti, peminat bola sepak akhirnya boleh menarik nafas lega.

Ini setelah tiga penyiar setempat, StarHub, Singtel dan Mediacorp, mengumumkan semalam liputan lengkap kesemua 64 perlawanan Piala Dunia Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) Qatar 2022.

Perlawanan itu akan disiarkan secara langsung atau berdasarkan permintaan (on-demand) pada sebarang peranti.

Pengumuman ini dibuat tiga minggu sebelum temasya bermula pada 20 November, sekali gus menamatkan proses rundingan yang menjangkau lebih setahun lamanya.

Pelanggan Singtel dan StarHub boleh melanggani pakej Piala Dunia pada harga awal $98 ($118 selepas tempoh promosi berakhir 6 November).

Harga tersebut lebih mahal berbanding $94 bagi harga awal ($112 selepas tempoh promosi) yang dibayar peminat empat tahun lalu.

Ketua kumpulan perniagaan pengguna StarHub, Encik Johan Buse, berkata:

"Bola sepak adalah sejagat dan Piala Dunia menunjukkan sedemikian kerana ia boleh mengubah para penonton menjadi peminat yang ghairah.

"Kami teruja untuk turun ke padang sekali lagi bersama Singtel dan Mediacorp untuk membawa perlawanan yang penuh aksi itu disiarkan secara langsung kepada pelanggan kami."

Tawaran kontrak semula diperkenal seiring pakej Piala Dunia

Dari 20 November hingga 18 Disember, peminat bola sepak boleh bersorak bagi menyokong 32 pasukan yang akan bertanding di perlawanan Piala Dunia Fifa Qatar 2022.

Ia termasuk enam pasukan Asia tahun ini iaitu Qatar, Australia, Iran, Jepun, Arab Saudi dan Korea Selatan.

Kontinjen Asia akan disertai pasukan hebat seperti Argentina, Brazil, Jerman dan juara bertahan Perancis dalam kejohanan 2018.

Perlawanan itu akan berlangsung di lapan stadium menakjubkan merentasi lima bandar di Qatar, termasuk Stadium Al Bayt di Al Khor, di mana perlawanan pembukaan kejohanan antara Qatar dengan Ecuador akan berlangsung pada 21 November, mulai 12 tengah malam.

Penonton juga boleh menyaksikan program menarik dari studio dengan barisan tetamu popular, penyampai dan golongan pakar seperti bekas kapten pasukan Perancis, Marcel Desailly; mantan pengurus Arsenal, Arsene Wenger; bekas kapten Jerman Lothar Matthaus; bintang yang pernah dinamakan penjaring terbanyak Argentina, Gabriel Batistuta; dan bekas pemain tengah Manchester United, Paul Scholes.

Selain daripada pakej $98 untuk menonton perlawanan Piala Dunia sahaja, kedua-dua pengendali saluran televisyen berbayar turut memperkenal tawaran kontrak semula untuk pelanggan sedia ada.

StarHub menawarkan pelanggan pakej Piala Dunia pada $52.40 sebulan dengan langganan dua tahun, yang membolehkan mereka menonton Piala Dunia serta mengakses beberapa tawaran hiburan lain termasuk Disney+.

Pelanggan HomeHub+ sedia ada yang melanggan pakej itu juga boleh menokok tambahan $45.11 setiap bulan untuk menikmati jaringan jalur lebar 1Gbps, Netflix dan TV+ Pro Box.

Semua tawaran Piala Dunia StarHub akan disediakan di aplikasi TV, yang akan memaparkan sorotan, perangkaan secara langsung, dan garis masa interaktif yang membolehkan penonton melihat kembali detik-detik perlawanan utama.

Singtel pula menawarkan Piala Dunia sebagai "bonus nilai tambah" bagi mereka yang mengambil kontrak semula bagi pelan Singtel TV selama dua tahun pada harga $52.90 sebulan dan ke atas.

Ini juga akan membolehkan mereka menonton perlawanan di aplikasi Singtel TV Go.

Pelanggan Singtel yang melanggan hanya pakej $98 boleh menonton perlawanan di peranti mudah alih mereka dan juga di aplikasi CAST.

Singtel menambah bahawa tawaran mudah alihnya akan dipertingkat bagi membolehkan kapasiti khusus bagi penstriman video melalui rangkaian 5G.

Mediacorp akan menyiarkan sembilan perlawanan di siaran TV percuma untuk pembuka tirai, lima perlawanan kumpulan, kedua-dua perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir.

Ini serupa dengan empat tahun lalu, ketika kosnya diuruskan oleh pemerintah.

Terdapat juga pilihan untuk peminat membeli pakej $98 yang serupa bagi membolehkan mereka menonton semua perlawanan di aplikasi meWATCH.