Masalah pelunturan batu karang di Singapura kini menjadi bertambah buruk di tengah-tengah suhu permukaan laut yang tinggi.
Ini dengan sekitar 40 peratus terumbu karang di perairan cetek di Kepulauan Selatan kelihatan “lemah dan putih”, kata beberapa pakar biologi marin.
Mereka sedang memantau sama ada kejadian tumpahan minyak pada 14 Jun – yang terbesar dialami Singapura dalam lebih sedekad – akan memudaratkan lagi ekosistem marin yang mudah terjejas itu.
Pada Mei lalu, Lembaga Taman Negara (NParks) menyatakan bahawa terumbu karang tempatan yang terletak di perairan cetek dan zon pasang surut mengalami sedikit pelunturan – atau warna yang berubah menjadi putih – disebabkan “pelunturan besar-besaran” keempat ke atas sistem terumbu karang di dunia.
Para saintis berkata akibatnya, sekitar 10 hingga 20 peratus daripada terumbu karang telah terjejas dan rosak, lapor The Straits Times (ST).
Zon pasang surut bermaksud kawasan yang terdedah semasa air surut dan tenggelam semasa air pasang.
Pelunturan terumbu karang sedunia berlaku pada 1998, 2010 dan 2016.
Singapura turut mengalami masalah pelunturan terumbu karang secara besar-besaran pada tahun-tahun tersebut.
Tahun-tahun tersebut dan tahun 2024 adalah tahun El Nino, iaitu fenomena iklim yang menyebabkan suhu permukaan laut di Lautan Pasifik menjadi panas dan sekali gus meningkatkan suhu sedunia.
Para penyelidik di Makmal Marin Nasional Pulau St John (SJINML) mendapati bahawa tahap pelunturan terumbu karang naik seganda kepada sekitar 40 peratus pada Jun, pada masa sama limpahan minyak daripada kejadian itu mengalir ke pantai dan perairan Pulau St John, Pulau Lazarus dan Pulau Kusu.
Kebanyakan terumbu karang yang utuh di Singapura berada di perairan selatan Singapura.
Pada 14 Jun, sebuah bot pengorek Belanda melanggar sebuah kapal tangki minyak Singapura di Terminal Pasir Panjang, menyebabkan 400 tan minyak bocor ke dalam laut.
Limpahan minyak itu mengalir dan mengotorkan pantai Sentosa, Taman East Coast, Kepulauan Selatan, Hutan Simpanan Labrador, Keppel Bay, Changi dan dua pantai di tenggara Johor.
Semasa satu kegiatan menyelam berhampiran Pulau Semakau pada Jun, kumpulan pemuliharaan Marine Stewards mendapati sekitar 40 peratus daripada batu karang keras yang terletak sekitar tiga meter dari permukaan air kelihatan menunjukkan tanda-tanda tekanan.
Sebanyak 20 peratus daripada batu karang tersebut telah luntur sepenuhnya, kata pengasas kumpulan itu, Cik Sue Ye.
Kebanyakan terumbu karang Singapura berada tidak lebih daripada enam meter di bawah air, dan ini meliputi zon pasang surut dan perairan cetek.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg