Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemain alat muzik Cina ‘Guzheng’ papar semangat berbilang kaum

Mohamed Faizal Mohamed Salim popular setelah muat naik persembahan lagu ‘Selamat Hari Raya’ oleh Saloma di media sosial
Jul 7, 2025 | 7:47 PM
Encik Mohamed Faizal Mohamed Salim, 44, merupakan pemain alat muzik Cina, ‘Guzheng’, secara sepenuh masa di Singapura. Mula bermain alat itu sejak berusia 19 tahun, beliau mengetengahkan persembahan gabungan lagu daripada pelbagai kaum pada 5 dan 6 Julai di acara Harmony Fest! ’25.
Encik Mohamed Faizal Mohamed Salim, 44, merupakan pemain alat muzik Cina, ‘Guzheng’, secara sepenuh masa di Singapura. Mula bermain alat itu sejak berusia 19 tahun, beliau mengetengahkan persembahan gabungan lagu daripada pelbagai kaum pada 5 dan 6 Julai di acara Harmony Fest! ’25. - Foto HAB SUKAN SINGAPURA

Daripada menikmati persembahan orkestra Cina sewaktu di politeknik hingga menjadi pemain Guzheng tular yang meraikan semangat berbilang kaum.

Encik Mohamed Faizal Mohamed Salim, 44 tahun, merupakan pemain Guzheng – alat muzik tradisional Cina – sepenuh masa berbangsa Melayu yang pertama di Singapura. 

Beliau menjadi popular dan dikenali sebagai pemain Guzheng yang dihormati semasa pandemik Covid-19, setelah memuat naik persembahan lagu, ‘Selamat Hari Raya’ oleh Saloma di Guzheng ke media sosial.

Encik Faizal berkata: “Saya terharu dan tidak sangka saya mampu memberi inspirasi kepada ramai pemain muzik untuk mengatasi kesangsian mempelajari alat muzik daripada kaum yang berbeza.”

Namun, Encik Faizal perlu mengharungi pelbagai cabaran untuk menggalak semangat keharmonian kaum melalui Guzheng.

Mengimbas kembali, beliau berkata semasa beliau mempelajari alat muzik itu di politeknik, memang jarang terdapat individu mempelajari muzik daripada kaum lain.

Perjalanannya bermula setelah menikmati persembahan solo Guzheng di Festival Seni Singapura 1996 secara kebetulan.

“Saya tertarik kepada bunyi istimewa Guzheng dan mahu mempelajarinya.

“Namun, ia terlalu mahal dan saya hanya boleh melihatnya di kedai,” kata Encik Faizal.

Nasib Encik Faizal berubah di politeknik pada 1998 apabila beliau menyertai orkestra Cina untuk mendekati dan mengenali alat muzik tradisional Cina.

Encik Faizal (tengah) menyertai orkestra Cina semasa belajar di politeknik. Sebagai permulaan, beliau mempelajari ‘Erhu’ – alat muzik bertali seakan biola  –demi mencapai impiannya untuk belajar main ‘Guzheng’.
Encik Faizal (tengah) menyertai orkestra Cina semasa belajar di politeknik. Sebagai permulaan, beliau mempelajari ‘Erhu’ – alat muzik bertali seakan biola  –demi mencapai impiannya untuk belajar main ‘Guzheng’. - Foto ihsan MOHAMED FAIZAL MOHAMED SALIM

Pada awalnya, cabaran utama Encik Faizal ialah bahasa kerana ia memperlahankan proses mempelajari bermain alat muzik Cina.

“Guru dan kebanyakan rakan saya di orkestra Cina tidak begitu fasih berbual dalam bahasa Inggeris. Jadi saya tidak boleh bergantung kepada terjemahan mereka untuk mempelajari alat muzik Cina pada masa itu,” kata Encik Faizal.

Disebabkan itu, ada kalanya beliau tidak dapat belajar susunan muzik yang diperlukan dengan cepat dan akhirnya ditugaskan menjadi anggota krew sahaja di belakang pentas.

Selain itu, memandangkan tidak ramai orang Melayu yang berminat dalam seni itu, maka kehadirannya menimbulkan persoalan dalam segelintir pemuzik dalam orkestra.

“Ada segelintir pemain muzik orkestra Cina yang berasa tidak yakin dengan saya kerana menunjukkan minat dalam mempelajari alat muzik tradisional Cina,” ujarnya sambil menambah beliau pernah berdepan dengan ejekan.

Banyak kali Encik Faizal hampir putus asa, tetapi beliau bersyukur atas sokongan keluarga, rakan dan gurunya yang bantu memulihkan azamnya untuk cemerlang dalam bermain Guzheng.

Semasa dalam orkestra Cina di politekniknya, Encik Faizal membawa pulang ‘Erhu’ – alat muzik tradisional Cina seakan biola – untuk berlatih dan bermain untuk keluarganya. Sempena Hari Raya pada 1998, beliau menerima ‘Guzheng’ pertamanya yang dihadiahkan bapa saudara, setelah beliau menyaksikan  persembahannya.
Semasa dalam orkestra Cina di politekniknya, Encik Faizal membawa pulang ‘Erhu’ – alat muzik tradisional Cina seakan biola – untuk berlatih dan bermain untuk keluarganya. Sempena Hari Raya pada 1998, beliau menerima ‘Guzheng’ pertamanya yang dihadiahkan bapa saudara, setelah beliau menyaksikan persembahannya. - foto ihsan MOHAMED FAIZAL MOHAMED SALIM

Kini, Encik Faizal bertekad memanfaatkan kemahiran dan pengalamannya bagi menggalak lebih ramai orang menghayati pembelajaran silang budaya.

Selain daripada persembahan lagu Hari Raya yang tular, beliau mencipta kaedah baru untuk menala Guzheng.

Menurut beliau, sumbangan penting kerana ia membolehkan pemain Guzheng memainkan lebih banyak genre lagu.

“Melalui teknik ini, saya dapat bermain genre lagu Jepun, Timur Tengah, gamelan dan pop. Saya berjaya menjadikan Guzheng alat muzik yang serba boleh,” kata Encik Faizal.

Pada awalnya, Encik Faizal dikritik oleh ramai pakar Guzheng tetapi lama-kelamaan lebih ramai pemain dan guru alat itu termasuk mereka dari Taiwan, menerima tekniknya dan menggalakkan permainan muzik dari budaya lain.

Pada 5 dan 6 Julai, Encik Faizal dan trio muzik, Singapore Rojak, mempersembahkan susunan tiga lagu tempatan daripada pelbagai kaum di Harmony Fest! ’25, acara meraikan keharmonian kaum dan agama di Singapura yang terbesar.

Encik Mohamed Faizal (kiri); pemain pipa (gitar Cina), Encik Chin Yen Chien @ Muhammad Shafeeq Chin dan pemain tabla dan rebana, Encik Rudi Salim daripada kumpulan Singapore Rojak membuat persembahan medley lagu berbagai bahasa termasuk lagu popular, ‘Rasa Sayang’,’Can’t Help Falling in Love’ dan lagu Cina, ‘The moon represents my heart’.
Encik Mohamed Faizal (kiri); pemain pipa (gitar Cina), Encik Chin Yen Chien @ Muhammad Shafeeq Chin dan pemain tabla dan rebana, Encik Rudi Salim daripada kumpulan Singapore Rojak membuat persembahan medley lagu berbagai bahasa termasuk lagu popular, ‘Rasa Sayang’,’Can’t Help Falling in Love’ dan lagu Cina, ‘The moon represents my heart’. - Foto ihsan HAB SUKAN SINGAPURA

Sempena acara ini dan SG60, Encik Faizal berharap beliau telah berjaya menyebarkan mesej bahawa pengalaman silang budaya dan berbilang agama adalah sebahagian daripada identiti warga Singapura.

“Saya teruja untuk lihat warga Singapura dari semua lapisan masyarakat berkumpul untuk meraikan perpaduan berbilang kaum dan agama melalui muzik,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg