Pemain bola Tampines Rovers disahkan positif Covid-19 sekembalinya dari Uzbekistan
Pemain bola Tampines Rovers disahkan positif Covid-19 sekembalinya dari Uzbekistan
SEORANG pemain bola sepak Tampines Rovers diuji positif Covid-19 sekembalinya pasukan tersebut daripada kempen Liga Juara Asia (ACL) di Uzbekistan Isnin lalu (12 Julai).
Pemain itu dipercayai atlet Singapura pertama yang dijangkiti Covid-19 semasa berkhidmat dalam tugasnya sebagai atlet.
Tampines Rovers berkata pemain itu, yang dipercayai belum divaksinasi, asimptomatik dan sedang dirawat di Hospital Khoo Teck Puat, menurut laporan The Straits Times.
Kumpulan tersebut berada di Tashkent, Uzbekistan, bagi kempen ACL pertama mereka dan telah berhenti transit selama sembilan jam di Dubai dalam perjalanan pulang mereka ke Singapura.
"Semua anggota kami yang terlibat dalam perjalanan itu mematuhi protokol ketat dan hanya berada dalam gelembung permainan di mana ujian Covid-19 dilakukan secara kerap sebelum setiap perlawanan di Tashkent," kata Tampines Rovers dalam satu kenyataan.
"Semua anggota skuad kami sedang menjalani kuarantin dua minggu di hotel kuarantin sesuai dengan protokol Kementerian Kesihatan (MOH)," tambah kenyataan tersebut.

