PEMANDU Bentley yang mengancam untuk melanggar seorang pengawal keselamatan berusia 62 tahun di luar Sekolah Red Swastika telah dijatuhi hukuman penjara selama lapan minggu dan didenda $600.

Neo Hong Chye, 61 tahun, juga dilarang memegang semua kelas lesen memandu selama 12 bulan.

Dia mengaku bersalah semalam atas satu pertuduhan menyebabkan kecederaan dengan melakukan perbuatan terburu-buru, yang menyebabkan dia dijatuhi hukuman penjara itu, dan satu lagi tuduhan memandu kenderaan tanpa perlindungan insurans.

Neo, yang hadir di mahkamah dengan baju berbunga, hanya tunduk dan berdiam diri ketika fakta dibacakan kepadanya.

Mahkamah diberitahu bahawa Neo memandu cucu perempuannya ke sekolah pada 11 Januari lalu.

Dia tiba di luar sekolah dengan menaiki kereta mewah Bentley dan memotong barisan kereta lain, lalu dihalang memasuki premis sekolah itu oleh pengawal keselamatan.

Neo lalu keluar dari kereta untuk bertanya kenapa dia dihalang, dan setelah diberi penjelasan, dia memasuki kereta semula dan bergerak ke depan dan dengan sengaja mencederakan pegawai keselamatan itu, yang tersandung ke belakang, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Encik Ben Mathias Tan.

Pengawal keselamatan itu akhirnya beredar dan Neo memasuki kawasan sekolah.

Pegawai itu mengalami lebam lutut kanan dan diberi cuti perubatan selama tiga hari.

Dalam hujahnya, DPP Tan berkata tindakan Neo yang terburu-buru dan agresif itu menunjukkan sikapnya yang tidak menghiraukan keselamatan mangsa dan pejalan kaki di sekitarnya.

DPP Tan memohon agar hukuman penjara sekurang-kurangnya lapan minggu, denda antara $600 dengan $800, serta larangan memandu selama 12 bulan daripada semua kelas dikenakan.

Dalam rayuannya, peguam Neo, Encik John Lim, daripada LIMN Law Corporation, berkata tertuduh berasa menyesal dan "tidak tidur lena sejak kejadian itu".

Neo cuba memohon maaf kepada mangsa secara peribadi tetapi diberitahu supaya membiarkan undang-undang menyelesaikannya, tambah beliau.

Encik Lim juga berkata memandangkan ini kali pertama Neo menghantar cucunya ke sekolah, dia tidak biasa dengan rutin dan kawasan itu.

Sementara itu, anak lelaki tertuduh, Glynn Neo Jia, 28 tahun, didakwa pada Mei atas satu pertuduhan setiap satu kerana menukar nombor pendaftaran kereta Bentleynya dan membenarkan bapanya menggunakan kereta itu tanpa perlindungan insurans.

Dia merupakan pemilik kereta Bentley ketika itu dan didakwa membenarkan bapanya memandu kereta itu kira-kira 6.30 pagi pada hari kejadian.

Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Hakim Daerah Lim Tse Haw berkata pegawai keselamatan memainkan peranan penting dalam menjaga premis tempat mereka bekerja dan patut mendapat kerjasama dan penghormatan penuh.

"Apa yang dilakukan oleh tertuduh dalam kes ini adalah tidak boleh diterima sama sekali," kata Hakim Lim, sambil menambah bahawa tidak ada tempat dalam masyarakat untuk kelakuan melulu dan tidak bertimbang rasa seperti itu."