Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23

Pemandu dalam nahas di Tampines dikena 4 tuduhan termasuk pandu bahaya sebabkan kematian

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pemandu dalam nahas di Tampines dikena 4 tuduhan termasuk pandu bahaya sebabkan kematian

Apr 25, 2024 | 05:32 PM



Pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan yang meragut dua nyawa di Tampines telah didakwa di mahkamah pada 25 April. 

Muhammad Syafie Ismail, 42 tahun, berdepan empat tuduhan di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya. 

Dia didakwa atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kecederaan dan memandu secara berbahaya.

Dia juga didakwa gagal menghentikan kenderaannya selepas berlaku kemalangan.

Pihak pendakwa berkata tuduhan tambahan mungkin dikemukakan ke atas Syafie, dan memohon penangguhan sehingga siasatan selesai dan laporan perubatan disediakan.

Syafie ditawarkan ikat jamin $30,000 dan tidak boleh berhubung dengan mana-mana saksi pendakwaan.

Difahamkan bahawa Syafie sedang memandu kereta jenama Saab berwarna hitam, yang dilihat dalam rakaman dalam kenderaan yang tular di media sosial.

Menurut kertas pertuduhan, Syafie didakwa gagal berhenti di lampu isyarat merah, sehingga mengakibatkan keretanya bertembung dengan dua kereta di persimpangan sebelum meluru ke hadapan dan merempuh sebuah kereta lain.

Kereta pertama yang dirempuh Syafie berpusing sebelum terbalik, dan menyebabkan ia bertembung dengan sebuah van yang kemudiannya bertembung dengan sebuah bas mini.

Kemalangan itu telah menyebabkan kematian Allahyarhamha Norzihan Juwahib, 57 tahun, dan Allahyarhamha Afifah Munirah Muhammad Azril, 17 tahun.


Jenazah kedua-dua mangsa selamat dikebumikan di Pusara Aman pada 23 April.


Kertas pertuduhan juga menyatakan bahawa kejadian tersebut telah juga mencederakan Cik Lee Yau Meng, 42 tahun; Encik Weng Haifeng, 42 tahun; Encik Chia Tong Chai, 64 tahun; dan Encik Mohammad Azman Mohd Enjah, 39 tahun.

Dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun turut cedera dalam kemalangan pada 22 April itu.

Semakan ikat jamin untuk Syafie dijadualkan pada 26 April, manakala persidangan pra-perbicaraan akan berlangsung pada 7 Jun.

Syafie telah diberkas pada 24 April selepas dia dibenarkan keluar hospital.


Dalam kenyataannya, polis berkata bahawa lesen memandunya juga telah digantung dan siasatan sedang dijalankan bagi kesalahan-kesalahan lain.

Mereka yang disabitkan kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian boleh dipenjara antara dua dan lapan tahun dan tidak dibenarkan memandu.


Kesalahan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kecederaan boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda sehingga $10,000, atau kedua-duanya sekali.


Kesalahan memandu secara berbahaya membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda sehingga $5,000, atau kedua-duanya sekali.


Bagi kesalahan gagal berhenti selepas kemalangan, pesalah boleh didenda sehingga $1,000, penjara sehingga tiga bulan, atau dikenakan kedua-dua hukuman. 


Menyusuli keprihatinan awam mengenai beberapa kemalangan berangkai yang berlaku baru-baru ini, beberapa Anggota Parlimen telah menggesa agar undang-undang diperkukuh bagi mencegah kesalahan memandu dengan laju dan kesalahan jalan raya yang berkaitan.

Menerusi satu catatan Facebook pada 24 April, Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, berkongsi bahawa beliau telah menerima maklum balas daripada para penduduk yang meluahkan keprihatinan mengenai keselamatan jalan raya secara umum dan juga khusus di kawasan Toa Payoh.

Ada pihak semakin bimbang mengenai sama ada hukuman sedia ada mencukupi bagi kesalahan memandu tanpa menghiraukan keselamatan lain, tambah Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah yang menyelia bahagian pengangkutan itu. 


Bagi menangani isu yang mendesak itu, Encik Saktiandi berkata beliau sudah membangkitkan beberapa soalan parlimen berkenaan Keselamatan jalan raya dan hukuman di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Ia bakal dibincangkan dalam sidang Parlimen seterusnya. 







“Saya benar-benar percaya perubahan bermakna perlu dilakukan untuk mengurangkan nahas sebegitu, sama ada dengan menyemak semula dan mempertingkat langkah-langkah pencegahan sedia ada atau melaksanakan penguatkuasaan lebih ketat untuk menghalang kelakuan berbahaya, selain melindungi para pemandu serta para pejalan kaki yang mematuhi undang-undang,” tulisnya.


Sementara itu, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang), dalam catatan di Facebook turut meluahkan keprihatinan beliau sambil berkata bahawa pada Mac lalu beliau telah mengajukan soalan serupa kepada MHA tentang perkara tersebut.

“Saya berharap hukuman lebih berat yang boleh bertindak sebagai penghalang akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >