Topic followed successfully
Go to BHkuPemandu dipenjara 20 minggu gagal patuh langkah keselamatan, sebabkan kematian pekerja
Pemandu dipenjara 20 minggu gagal patuh langkah keselamatan, sebabkan kematian pekerja
Pemandu dipenjara 20 minggu gagal patuh langkah keselamatan, sebabkan kematian pekerja

PEMANDU lori kontena yang gagal mematuhi langkah keselamatan dan menyebabkan kematian seorang pekerja telah dipenjara 20 minggu pada Rabu (11 Mei).
Muhammad Zulqarnain Boymen, 34 tahun, mengaku bersalah ke atas satu tuduhan melakukan perbuatan cuai sehingga menyebabkan kematian rakan sekerja, Encik Sivasamy Nethaji, 29 tahun.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata, semasa kejadian yang berlaku pada 22 Mac 2018, Muhammad Zulqarnain, seorang warga Singapura, ditugaskan memandu kenderaan tersebut untuk mengumpul kontena tangki ISO pada treler di 5 Jalan Sungei Kadut 6.
Tangki ISO ialah bekas intermodal antarabangsa yang dihasilkan mengikut spesifikasi yang digariskan oleh Pertubuhan Standardisasi Antarabangsa. Bekas ISO boleh digunakan pada kapal, kereta api dan trak.
Apabila Zulqarnain tiba di tapak kejadian, tangki yang perlu diambilnya telah dihadang oleh tangki kedua.
Dia lalu mengundurkan kenderaannya untuk menggandingkannya dengan tangki kedua supaya dia boleh mengalihkannya dari jalan.
Namun, dia gagal memeriksa sama ada ia selamat untuk berbuat demikian.
Pada waktu itu, Encik Sivasamy, seorang warga India, sedang berdiri di antara kedua-dua tangki itu untuk menanggalkan hos stim dari tangki pertama.
Apabila kenderaan yang dipandu Zulqarnain bergerak ke belakang, ia telah menolak tangki kedua dan Encik Sivasamy tersepit antara kedua-dua tangki itu.
Beliau kemudian dibawa ke hospital dan meninggal dunia pada hari yang sama.
MOM berkata siasatannya mendapati Zulqarnain gagal mematuhi prosedur keselamatan semasa proses gandingan dan operasi lori itu.- The Straits Times
