KECUAIAN seorang pemandu Grab membawa pada dirinya mencederakan tiga orang dalam tempoh sebulan setelah dia mengundurkan keretanya untuk menentang arus trafik dalam satu kejadian dan memandu sahaja ketika lampu isyarat berwarna merah dalam satu kejadian lain.

Michael Chua, 46 tahun, pada Rabu (6 April) dihukum penjara sembilan minggu dan tidak dibenarkan memandu untuk tiga bulan setengah setelah dia mengaku bersalah di atas dua tuduhan memandu dalam keadaan yang berbahaya buat orang awam.

Satu lagi tuduhan serupa dipertimbangkan dalam menghukumnya.

Pada 9 Ogos 2020, Chua sedang memandu di Circuit Road untuk mengambil seorang penumpang apabila dia tersalah pusing lantas memasuki sebuah tempat meletak kereta.

Dia mengundurkan keretanya ke belakang ke arah jalan tiga laluan, menentang trafik dan melanggar dua pejalan kaki.

Mangsa yang merupakan dua adik-beradik perempuan berusia 60 dan 62 tahun digegaskan ke Hospital Tan Tock Seng.

Si kakak mengalami kekejangan yang berterusan pada pergelangan tangan kirinya dan kesakitan pada ibu jari untuk tiga hingga empat minggu selepas kemalangan. Beliau diberi cuti hospital selama 57 hari.

Kunjungan terakhirnya ke hospital pada 18 Mac lalu menunjukkan beliau masih belum boleh meluruskan ibu jari kirinya sepenuhnya. Kecederaan itu kemungkinan besar dialami sepanjang hayat.

Si adik pula mengalami calar dan luka pada siku dan buku lali. Beliau diberi cuti hospital 90 hari.

Pada 31 Ogos 2020 pula, Chua memandu terus meskipun lampu isyarat berwarna merah di North Buona Vista Road. Dia merempuh kereta yang sedang belok ke kanan.

Selepas kejadian itu, dia keluar daripada kereta itu dan berbual dengan pemandu kereta yang dilanggar, seorang wanita 43 tahun tetapi enggan memberikan butiran peribadinya kepada wanita itu untuk langkah susulan..

Kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Kevin Ho: "Si tertuduh juga memberitahu mangsa agar mendapatkan insurannya sendiri untuk kemalangan itu dan menguruskannya sendiri."

Chua merakam foto kejadian dan meninggalkan tempat kejadian.

Mangsa mengalami sakit leher dan diberi cuti sakit tiga hari.

Keratan video kemalangan di Buona Vista itu dirakam dan dimuatnaikkan ke akaun Facebook SG Road Vigilante. Ia ditonton 9,200 kali sehingga 4 Mac tahun ini.

DPP Ho yang meminta sembilan hingga 18 minggu penjara dan larangan memandu antara 36 hingga 40 bulan berkata tindakan Chua mengundurkan keretanya dan menentang aliran trafik agak berbahaya kerana terdapat banyak kenderaan berhampiran. Tambahan pula, dia memandu dengan laju.

Menurut DPP Ho lagi, Chua mempunyai sejarah memecut pada 2018 dan gagal menggunakan tali pinggang keledar pada 2014.

Dalam rayuannya, Chua yang tidak diwakili peguam berkata dia telah menghubungi dua mangsa dalam kejadian pertama itu untuk bertanya khabar dan menawarkan bantuan.

"Saya adalah satu-satunya anak lelaki dan saya mempunyai dua ibu bapa yang berusia di rumah. Bapa saya tidak berupaya dan ibu pula mengalami strok bulan lalu," tambahnya.

Hukuman maksimum bagi setiap kesalahan memandu dengan berbahaya membawa pada denda $15,000 dan penjara dua tahun.