Pemandu lori tanah yang setinggi lebih 4.5 meter ditangkap pada 25 Ogos selepas kenderaan itu menyebabkan lampu dan papan isyarat di siling terowong Ekspreswe Central (CTE) tertanggal.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memberitahu akhbar The Straits Times siling terowong tidak mengalami kerosakan struktur.
Rakaman video yang menunjukkan kerosakan itu – diambil pada 1.15 pagi dan diterbitkan di laman Facebook Roads.sg – menunjukkan cebisan lampu bersepah di dua lorong ekspreswe.
Wayar yang biasanya terlindung pula dilihat terdedah.
Video itu, yang diiringi kapsyen yang berkata kejadian itu berlaku di jalan keluar Havelock Road, menunjukkan kon trafik mengadang dua lorong jalan raya yang terjejas. Hanya lorong paling kiri dibuka kepada trafik.
Lori yang terbabit juga dilihat dalam rakaman video itu.
LTA berkata lorong satu dan lorong dua, iaitu lorong paling kanan dan lorong tengah, dibuka semula sekitar 10.20 pagi pada 25 Ogos.
Bahagian yang rosak akan digantikan di tarikh lain, kata LTA.
Polis berkata ia diberitahu mengenai kejadian di bahagian CTE menghala ke Ekspreswe Seletar (SLE) itu sekitar 1 pagi.
Pemandu lori tanah itu, seorang lelaki berusia 39 tahun, ditangkap kerana memandu kenderaan berat dengan ketinggian yang melebihi 4.5 meter tanpa diiringi polis atau polis auksiliari, kata polis.
Tiada kecederaan dilaporkan. Polis sedang menyiasat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg