Pemandu yang menyebabkan kemalangan berantai di Tampines pada 2024 sehingga meragut dua nyawa, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun sembilan bulan pada 5 Oktober.

Muhammad Syafie Ismail, 45 tahun, yang turut mencederakan lapan orang termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, juga dilarang memandu seumur hidup.

Seorang pelajar maktab rendah dan wanita berusia 57 tahun maut dalam kemalangan itu.

Syafie mengaku bersalah pada Ogos lalu atas tiga tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, kecederaan parah dan kecederaan.

Ketika hukuman dijatuhkan, Syafie terus menundukkan kepalanya di mahkamah.

Dia juga tidak menjawab ketika ditanya The Straits Times sama ada ingin menyampaikan sesuatu kepada keluarga mangsa.

Ketua Hakim Daerah Toh Han Li berkata hukuman itu setimpal dengan kesalahan Syafie dan tidak membebankannya.

Akibat perbuatannya, dua nyawa terkorban, lapan yang lain cedera dan keluarga mereka terjejas buat selama-lamanya, kata hakim.

Ahli keluarga Syafie dan pelajar berkenaan hadir semasa perbicaraan.

Pada 22 April 2024, Syafie selesai bekerja syif malam sebagai pengurus operasi di sebuah syarikat perkilangan antarabangsa sebelum menurunkan penumpang GrabHitch di Bedok sekitar 6.15 pagi.

Dia memotong sebuah kereta secara bahaya di Bedok Reservoir Road sebelum berlanggar dengan sebuah lagi kereta dan hampir bertembung dengan seorang penunggang motosikal.

Syafie kemudian memandu menuju ke persimpangan pada kelajuan 129 kilometer sejam (kmj) hingga 134kmj, berbanding had laju 50kmj.

Beliau melepasi lampu merah yang sudah menyala sekurang-kurangnya 26 saat lalu merempuh tiga kenderaan, menyebabkan kemalangan berantai.

Video di media sosial menunjukkan sebuah kereta hitam meluncur laju sebelum menyebabkan kemalangan melibatkan lima kenderaan lain, termasuk sebuah van.

Kemalangan itu meragut nyawa Cik Norzihan Juwahib, 57 tahun, dan pelajar berusia 17 tahun yang identitinya tidak boleh didedahkan kerana perintah larangan.

Allahyarhamha Norzihan, penumpang van berkenaan, sedang dalam perjalanan ke tempat kerja. Beliau adalah teknisyen kanan di sebuah syarikat kawalan perosak dan telah bekerja di situ selama kira-kira 10 tahun.

Bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dilakukan terhadapnya, namun beliau meninggal dunia di hospital akibat pelbagai kecederaan termasuk patah tulang leher dan tulang rusuk.

Pelajar itu pula sedang dalam perjalanan bersama bapanya untuk menyertai acara tahunan larian sekolah apabila kereta mereka terbalik dan pintunya terpelanting terbuka.

Pelajar itu terperangkap di bawah sebuah kereta, manakala bapanya tidak sedarkan diri.

Apabila sedar di hospital, bapanya diberitahu anaknya telah meninggal dunia. Beliau mengalami patah tulang rusuk dan diberikan cuti hospital selama 191 hari.

Pendakwa raya berkata ibu pelajar itu mengalami gangguan kemurungan besar dan gangguan tekanan postrauma.

Kemalangan berantai itu turut mencederakan lapan orang, termasuk seorang yang patah tulang rusuk dan seorang lagi cedera di kepala.

Syafie mengalami patah tulang lengan dan rusuk tetapi tidak mengalami kecacatan kekal.

Dia ditahan dua hari kemudian dengan lesen memandunya digantung serta-merta.

Pendakwa raya memohon hukuman penjara antara 12 tahun sembilan bulan dengan 13 tahun enam bulan kerana kesan perbuatan Syafie sememangnya amat serius.

Bapa pelajar itu menyalahkan dirinya setiap hari, manakala ibunya mendapatkan rawatan psikologi kerana merasakan hidup tidak lagi bermakna.

Peguam bela Encik Kalaithasan Karuppaya memohon hukuman penjara antara tujuh tahun enam bulan hingga lapan tahun dan bersetuju dengan larangan memandu seumur hidup.

Beliau berkata Syafie tersilap membuat pertimbangan dan kesilapan itu akan menghantuinya sepanjang hayat.

Pesalah yang memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian boleh dipenjara sehingga lapan tahun dan dilarang memandu.