Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembangunan Bersepadu Toa Payoh, pusat sukan serantau dijangka siap 2030

Feb 27, 2023 | 5:30 AM
KEMUDAHAN BARU: Pusat sukan merupakan salah satu ciri Pembangunan Bersepadu Toa Payoh, yang dijangka siap menjelang 2030. - Foto SPORTSG
KEMUDAHAN BARU: Pusat sukan merupakan salah satu ciri Pembangunan Bersepadu Toa Payoh, yang dijangka siap menjelang 2030. - Foto SPORTSG -

PEMBINAAN Pembanguan Bersepadu Toa Payoh, yang terdiri daripada pusat sukan serantau, poliklinik, perpustakaan awam dan taman bandar serantau, dijangka selesai menjelang 2030, umum Majlis Sukan Singapura (SportSG) pada Ahad.

Antara kemudahan sukan yang diusul adalah kolam renang, dewan sukan tertutup, gelanggang tenis, futsal dan bola jaring terlindung; gimnasium, studio kecergasan dan stadium bola sepak.

Terdapat juga rancangan bagi menempatkan pusat latihan kebangsaan untuk akuatik, bola jaring dan tenis meja di sana.

Pembangunan itu akan merangkumi ruang 12 hektar antara Lorong 6 Toa Payoh dengan Ekspreswe Rentas Pulau.

Ketua eksekutif SportSG, Encik Lim Teck Yin menyedari bahawa Pusat Sukan Toa Payoh yang ada kini telah menjadi lokasi bagi banyak acara utama yang diadakan di Singapura.

Ia termasuk Sukan Peninsula Asia Tenggara pada 1973, Sukan SEA pada 1983, 1993, 2015 dan edisi sulung Sukan Olimpik Belia pada 2010.

Piala Dunia Wanita Persekutuan Tenis Meja Antarabangsa juga dianjurkan dalam dewan sukan tertutup di Toa Payoh pada 2011.

Encik Lim berkata: "Melebihi semua itu, ramai penduduk datang ke pusat sukan itu untuk kegiatan dan latihan sukan mingguan mereka.

"Pembangunan bersepadu baru itu adalah sebahagian usaha kami untuk membawa prasarana sukan yang bermutu dekat kepada masyarakat.

"Setelah siap, ia akan meneruskan warisannya dan menjadi rahmat kepada peminat sukan dan mendorong gaya hidup aktif ramai warga Singapura.

"Dengan kemudahan dan khidmat disediakan oleh rakan kongsi lokasi bersama kami, warga Singapura boleh menantikan ruang yang lebih bersemangat dan bertenaga untuk mencipta kenangan dan pengalaman baru bersama-sama."

Pembangunan Bersepadu Toa Payoh dan Pusat Sukan Kawasan Punggol adalah sebahagian Pelan Induk Kemudahan Sukan, inisiatif utama rangka tindakan sukan kebangsaan Visi 2030.

Pusat Punggol pada asalnya dijadual siap pada 2023 tetapi hanya akan dibuka pada hujung 2024.

Ia akan mempunyai stadium bola sepak yang boleh menampung 5,000 penonton, kompleks renang dengan lima kolam, dewan sukan tertutup dengan 20 gelanggang badminton dan dewan sukan berpasukan dengan tiga gelanggang bola keranjang boleh tukar.

Ia juga mempunyai gimnasium, studio kecergasan, gelanggang tenis dan futsal tertutup, pusat aktiviti air dan pusat latihan memanah.

Projek Toa Payoh ialah kerjasama pelbagai agensi oleh SportSG, Kementerian Kesihatan (MOH), Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Lembaga Taman Negara (NParks) dan Poliklinik Kumpulan Penjagaan Kesihatan Nasional.

Satu jerayawara awam diadakan pada hujung minggu di atrium HDB Hub di Toa Payoh membolehkan penduduk melihat reka bentuk pembangunan akan datang dan berkongsi maklum balas mereka.

Acara itu turut dihadiri Menteri Negara Kanan (Kewangan merangkap Pengangkutan), Encik Chee Hong Tat; Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang; dan Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg