Masjid Darul Makmur masih mengumpulkan dana untuk kerja peningkatan sejak penghujung April 2023 dan mengharapkan sokongan serta sumbangan derma daripada masyarakat agar semua proses peningkatan berjalan dengan lancar.
Masjid yang sudah dibangunkan selama 37 tahun ini memerlukan peningkatan agar ia dapat menerima lebih ramai lagi jemaah apabila siap kelak serta mampu memberi keselesaan kepada jemaah yang semakin bertambah saban hari.
Lebih utama lagi, banyak flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru yang telah siap dan juga sedang dibangunkan di kawasan kejiranan Yishun dan Chencharu. Di Nee Soon East sahaja, hampir terdapat sekitar 10,000 penduduk Melayu/Islam yang menetap di kawasan ini yang berdekatan dengan Masjid Darul Makmur.
Menurut Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Izuan Mohd Rais, pihaknya masih lagi memerlukan sokongan ramai bagi menampung kos peningkatan ini.
“Kami masih memerlukan dan mencari dana sebanyak $3 juta bagi kos peningkatan yang bakal menelan belanja sebanyak $15 juta. Pihak kami telah menerima sokongan yang menggalakkan daripada masyarakat, dan usaha pengumpulan dana yang sedang dijalankan buat masa ini perlu dipertingkatkan lagi, agar jumlah dana yang kami sasarkan dapat dicapai dengan segera,” jelas Encik Izuan.
Berkongsi butiran mengenai program masjid buat masa ini, Imam Eksekutif Masjid, Ustaz Mohamad Ghouse Khan Suratte, berkata program ukhrawi tetap dijalankan meskipun kerja peningkatan masih gigih dilaksanakan.
“Walaupun masjid ditutup untuk kerja peningkatan pada waktu ini, kami tetap menyediakan program pembelajaran Islam yang mudah diikuti melalui dalam talian dan juga secara fizikal dengan kepelbagaian tajuk dan struktur yang sistematik.
“Contohnya, kami menganjurkan kuliah agama yang diadakan secara berterusan sepanjang minggu di Masjid Assyafaah. Kemudian, kami mengadakan program bersiri yang membincangkan tajuk-tajuk terpilih untuk dibahaskan seperti siri Al-Quran, Tauhid dan lain-lain,” kata Ustaz Mohamad Ghouse.
Menurut Ustaz Mohamad Ghouse, apabila selesai peningkatan masjid pada tahun hadapan (2025), ruang yang lebih luas dan auditorium yang lebih selesa dapat dimanfaatkan oleh semua jemaah, terutama sekali golongan dewasa dan pelajar madrasah yang menghadiri kelas pengajian di masjid ini.
Antara tumpuan utama sewaktu peningkatan ini ialah penambahan ruang dewan solat bagi keselesaan jemaah, membina dewan serbaguna dan auditorium yang dapat menampung lebih ramai peserta apabila masjid menganjurkan pelbagai program pada masa mendatang.
Ruang yang lebih luas, yang dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian atau zon, secara tersendiri juga akan dipertimbangkan, dalam lakaran pelan peningkatan masjid agar dapat memenuhi langkah pengurusan selamat pada masa hadapan jika diperlukan.
Berkongsi rayuannya, Ustaz Mohamad Ghouse memberitahu Berita Harian (BH) mengenai program-program dan ceramah untuk mendekati penduduk di kawasan Yishun.
“Sepanjang beberapa bulan lalu, pihak kami telah bekerjasama dengan kumpulan akar umbi di kejiranan Yishun untuk mendekati masyarakat dengan mengadakan sesi ziarah ke rumah-rumah penduduk Islam.
“Pada Sabtu lalu, kami telah menganjurkan ceramah keluarga yang dihadiri lebih daripada 800 jemaah di kawasan terbuka bersebelahan MRT Khatib dengan kerjasama kumpulan bersama Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) GRC Nee Soon.
“Kami ingin memastikan hubungan baik penduduk masih lagi terjalin dengan pihak masjid dan program-program pembelajaran dan majlis ilmu masih dapat diberikan dan dimanfaatkan penduduk di Yishun.
“Pada masa yang sama, pencarian dana untuk projek peningkatan masjid ini masih berjalan dengan jayanya. Selain daripada acara sebegini, pihak masjid juga masih terus menyampaikan kuliah agama bertempat di Masjid Assyafaah buat masa ini dan kuliah ini juga boleh diikuti melalui dalam talian,” ujar Ustaz Ghouse.
Masjid Darul Makmur berharap dapat mengumpulkan baki $3 juta dalam masa enam bulan akan datang untuk mencapai matlamat projek peningkatan tersebut.
1. PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Rujukan: Wakaf).
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-652138001 (Rujukan: Wakaf).
3. Melalui cek atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke alamat 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.
4. Hadir di Pejabat Masjid Darul Makmur atau di Masjid Assyafaah pada waktu pejabat.
5. Untuk pertanyaan atau pengambilan derma $500 ke atas dari rumah, sila hubungi pejabat masjid di talian 6752-1402.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg