SEORANG pembantu rumah yang mengalami aneurisme otak - bengkak atau gelembung pada arteri - telah dihantar pulang ke Indonesia, tetapi hanya selepas majikan Cik Saripah Fitriyani berjaya mengumpul lebih $160,000 menerusi usaha crowdfunding atau pendanaan awam.

Wang tersebut digunakan untuk membayar kos penghantaran pulang dan bil hospital untuk pembantu rumah itu.

Ia mengambil sekitar 12 hari untuk mencapai jumlah yang disasarkan, kata majikannya, Cik Nadiah Arinah Mohamed Sallehuddin, kepada akhbar The Straits Times.

"Keluarga saya dan saya bergegas memeriksa laman Gogetfunding Saripah sejurus kami bangun tidur, dengan harapan ia mencapai sasarannya memandangkan bil-bil perubatannya yang disemak semula terus masuk," kata moderator kandungan Tiktok berusia 28 tahun itu.

Pada malam 5 Mac, Cik Saripah, yang mula bekerja di rumah Cik Nadiah di Pasir Ris tiga bulan sebelum itu, jatuh di rumah selepas mengadu sakit kepala dan muntah.

Para doktor di Hospital Besar Singapura (SGH) berkata satu imbasan tomografi pengkomputeran menunjukkan Cik Saripah mengalami pendarahan di otak dan beliau perlu menjalani pembedahan kecemasan pada malam yang sama.

Cik Saripah sedar empat hari kemudian dan berada dalam keadaan stabil.

Meskipun Cik Saripah sedang mula sembuh sedikit, Cik Nadiah berbincang dengan agensi pembantu rumahnya untuk menghantar Cik Saripah pulang ke kampung halamannya di Karawang, Jawa Barat, di Indonesia.

Cik Nadiah telah mendapatkan perlindungan insurans bagi Cik Saripah sebanyak $15,000 dan lagi $10,000 untuk dihantar pulang, namun masih mempunyai baki ribuan dolar untuk dibayar.

Sehingga 5 April, bil hospital sementara itu dianggarkan berjumlah sekitar $75,000, dengan kos penghantaran pulang dianggar sekitar $5,000.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) memerlukan semua majikan pekerja domestik migran membelikan insurans kemalangan peribadi (PAI) untuk menawarkan mereka pampasan sekiranya timbul kematian atau kecacatan kekal semasa mereka menetap di Singapura.

Sehingga 1 Julai, perlindungan insurans perubatan bagi permit kerja dan pemegang Pas S akan dinaikkan kepada had tuntutan tahunan sekurang-kurangnya $60,000, daripada $15,000 pada masa ini, umum MOM pada 31 Mac.

Tetapi ini agak terlewat bagi Cik Nadiah dan suaminya, Encik Syafiq Sohaimi, 32 tahun.

Mereka menerima anak ketiga seminggu sebelum kejadian itu berlaku.

Dua anak mereka yang lain berusia setahun dan dua tahun.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti