SEORANG pembantu rumah yang dituduh menyerang anak majikannya yang berusia empat bulan dan merosakkan puting botol susu budak itu telah dibebaskan daripada semua tuduhan terhadapnya menyusuli satu perbicaraan di mahkamah.
Nenti, kini 26 tahun, yang dihadapkan ke mahkamah atas dua kesalahan kenakalan dan satu kesalahan serangan telah dituduh berbuat kesalahan itu di flat Punggol pada 2019.
Wanita Indonesia ini menangis apabila Hakim Daerah John Ng mengesahkan pembebasannya.
Menekankan tiada bukti langsung pelaksanaan kesalahan yang didakwa berlaku itu, Hakim Ng berkata: "Tiada saksi dalam kesalahan yang didakwa itu. Terdapat keratan CCTV yang mungkin memberi pencerahan pada isu ini tetapi ia didapati tidak muktamad."
Keterangan mengenai bayi itu tidak boleh didedahkan kerana individu di bawah 18 tahun mendapat liputan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Belia.
Sewaktu perbicaraan awal, mahkamah diberitahu Nenti digajikan buat isi rumah itu pada Julai 2019.
Bapa bayi itu berkata beliau dalam perjalanan ke rumah pada Ogos tahun itu apabila isterinya menghubunginya dan berkata beliau menemui tanda calar pada kaki anak perempuannya.
Lelaki itu berkata beliau memeriksa bayi itu selepas sampai ke rumah selepas 6 petang dan melihat calar tersebut. Apabila bersemuka, Nenti menafikan beliau penyebabnya.
Mengesyaki bahawa Nenti adalah yang menyebabkan kecederaan itu, si bapa memberitahu polis mengenainya.
Pegawai polis kemudian tiba di flat itu dan membawa pergi pembantu rumah itu. Sejak itu, lelaki itu berkata tiada hubungan antara Nenti dengannya.
Pada ketika Nenti tidak lagi bekerja bagi isi rumah itu, lelaki itu kemudian mendapati puting botol susu bayinya nampak dibesarkan.
Beliau kemudian memberitahu Hakim Ng bahawa lubang puting itu awalnya kecil dan bulat. Bagaimanapun, kedua-dua puting itu nampaknya kian besar dan nampak dicelah-celah.
Dalam kenyataan awal kepada pihak berkuasa, Nenti mengaku beliau awalnya sengaja mencalarkan kaki bayi itu.
Awalnya, beliau juga mengaku beliau telah memotong puting itu kerana "marah" dengan ibu si bayi yang dikatakan memarahinya setiap hari.
Bagaimanapun, Nenti kemudian menafikan menggaru kaki budak itu dan memotong puting berkenaan apabila dibicarakan tahun lalu.
Peguam belanya, Josephine Costan, yang mewakili pembantu rumah itu secara 'pro-bono' atau percuma, memberitahu mahkamah pada Jumaat, tiada bukti bahawa pembantu rumah itu melakukan kesalahan kecuali kenyataan yang dibuat.
Dalam memberikan rumusan kes itu, Hakim Ng menukil laporan daripada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) yang menekankan bahawa tidak dapat ditentukan jika puting itu diusik kerana "kerosakannya secara paparan visual mungkin berlaku kerana faktor kerosakan dari masa ke masa".
Beliau menambah: "Adalah munasabah bahawa si tertuduh mengandaikan bahawa polis tidak mempercayainya lantas dia mengaku pada dakwaan itu untuk membolehkan siasatan dijalankan segera dan dia dapat pulang kembali ke Indonesia awal."
Hakim juga berkata beliau bersetuju tidak selamat untuk mendakwa Nenti atas tiga kesalahan itu berdasarkan pengakuan yang ditarik balik melihat pada keadaan menyeluruh bukti yang ditambah dalam perbicaraan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg