Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembantu rumah diiktiraf kerana kerja keras, khidmat selama 17 tahun

Dinobat Naib Juara Anugerah Pekerja Domestik Migran, Anugerah Perkhidmatan Lama atas pencalonan majikan
Feb 6, 2025 | 3:25 PM
Cik Rike Lestari, yang telah bekerja di Singapura selama 17 tahun dengan majikan yang sama, dinobatkan sebagai Naib Juara Anugerah Pekerja Domestik Migran dan menerima Anugerah Perkhidmatan Lama di majlis anugerah anjuran Persatuan Agensi Pekerjaan Singapura (AEAS) pada 5 Februari. 
Cik Rike Lestari, yang telah bekerja di Singapura selama 17 tahun dengan majikan yang sama, dinobatkan sebagai Naib Juara Anugerah Pekerja Domestik Migran dan menerima Anugerah Perkhidmatan Lama di majlis anugerah anjuran Persatuan Agensi Pekerjaan Singapura (AEAS) pada 5 Februari.  - Foto SURAIYA ABDULLAH

Membesar di sebuah kampung di Malang, Indonesia, Cik Rike Lestari, 40 tahun, datang ke Singapura pada usia 23 tahun demi mencari rezeki sebagai seorang pembantu rumah. 

Hasil kerja keras dan dedikasi beliau yang konsisten, majikannya, Cik Suraiya Abdullah, seorang penasihat kewangan, telah mengamanahkan Cik Rike untuk terus menjaga keluarga dan rumah mereka selama 17 tahun. 

Dengan pencalonan daripada majikannya, Cik Rike dinobat Naib Juara Anugerah Pekerja Domestik Migran dan Anugerah Perkhidmatan Lama.

Anugerah tersebut diterima pada Majlis Anugerah Pekerja Domestik Migran dan Majikan Terbaik ke-20, yang diadakan pada 5 Februari di Amara Singapore.

Majlis yang bertemakan ‘Meraikan Kecemerlangan’ dianjurkan oleh Persatuan Agensi Pekerjaan Singapura (AEAS).

Juara Anugerah Pekerja Domestik Migran pula dimenangi oleh Cik Lorevic Maquiz Gallos, 55 tahun, dari Filipina, yang telah berkhidmat selama 18 tahun. 

Sementara itu, Anugerah Majikan Terbaik diberikan kepada Cik Coreen Chua, majikan kepada pembantu rumah dari Indonesia, Cik Darsiti Darwaji, yang telah bekerja bersama sejak 1999, lapor The Straits Times.

“Saya ke Singapura untuk mengubah nasib saya, kerana saya ingin mendapat gaji yang lebih tinggi berbanding di Indonesia,” jelas Cik Rike ketika ditemui Berita Harian (BH). 

Seperti ramai pekerja domestik migran yang bekerja di Singapura, Cik Rike sanggup berkorban berjauhan dengan ibu bapanya di Malang, demi mencari rezeki untuk menampung kehidupan keluarganya di sana. 

Sebagai anak kedua daripada empat adik-beradik, Cik Rike adalah satu-satunya anggota keluarga yang bekerja di luar negara. 

“Saya pilih Singapura kerana ada majikan yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu, yang tidak jauh beza dari bahasa Indonesia. Singapura juga tidak terlalu jauh dari Indonesia,” ujar Cik Rike. 

Bertahan lama sebagai pekerja domestik migran di Singapura pasti bukan sesuatu yang mudah.

Apabila ditanya tentang motivasinya untuk terus bekerja keras, beliau berkata: 

“Majikan saya sekeluarga sentiasa bersedia membantu, bahkan keluarga saya di Indonesia juga dibantu apabila ada keperluan.

“Mereka menjaga kebajikan saya dengan baik dan saya anggap mereka sebagai keluarga saya sendiri.” 

Hampir dua dekad Cik Rike berada di Singapura, menjadikan kehidupan di sini sebagai kebiasaan baginya.  

Justeru bukanlah sesuatu yang mudah untuk beliau pulang ke negara asal apabila tiba masanya nanti.

Menurut Cik Rike, beliau sangat beruntung kerana mendapat majikan yang baik. 

“Rike telah banyak membantu keluarga saya. Beliau mengambil inisiatif untuk membaca surat khabar untuk menjadi lebih fasih dalam bahasa dan sentiasa memastikan anak saya mengulang kaji untuk peperiksaan sekolah,” jelas Cik Suraiya penuh bangga. 

Presiden AEAS, Cik K Jayaprema, menganggap majlis penyampaian itu sebagai satu acara yang istimewa kerana ia mengeratkan hubungan antara semua pihak berkepentingan.

“Keunikan acara ini ialah ia memaparkan sikap saling menghormati dan percaya antara majikan dengan pembantu rumah migran,” tambahnya. 

Majlis anugerah itu turut dihadiri tetamu daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM), rakan kongsi duta dan pesuruhjaya tinggi antarabangsa.

Cik K Jayaprema juga menerangkan bahawa kehadiran wakil daripada organisasi luar negara mencerminkan betapa “Singapura adalah contoh bagaimana kerjasama dan persefahaman dapat dijalinkan pada peingkat global”.

“Majikan saya sekeluarga sentiasa bersedia membantu, bahkan keluarga saya di Indonesia juga dibantu apabila ada keperluan.  Mereka menjaga kebajikan saya dengan baik dan saya anggap mereka sebagai keluarga saya sendiri.” 
Cik Rike Lestari, Naib Juara Anugerah Pekerja Domestik Migran dan penerima Anugerah Perkhidmatan Lama.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg