SEORANG pembantu rumah yang ditugaskan menjaga seorang lelaki warga emas merakam gambar dirinya bersama lelaki berkenaan dalam keadaan tidak berpakaian pada latar foto itu.

Selepas itu, dia menghantarnya kepada suaminya melalui platform pesanan WhatsApp.

Hidayah, 40 tahun, turut melampirkan mesej dalam bahasa Jawa kepada suaminya, dengan berkata: "Gaji 8 juta (rupiah) ($700) tetapi kerja saya susah, memandikan orang tua."

Wanita warga Indonesia itu melakukan kesalahan serupa empat hari kemudian, kali ini menghantar gambar itu kepada seorang rakannya.

Hidayah dijatuhi hukuman penjara tiga bulan pada Selasa selepas dia mengaku bersalah atas satu tuduhan voyeurisme (perbuatan melihat orang lain telanjang atau melakukan kegiatan seks untuk mendapat keseronokan atau kepuasan seks) dan satu tuduhan mengedarkan gambar intim warga emas berkenaan.

Lelaki berusia 79 tahun itu, yang tidak boleh dinamakan kerana perintah mahkamah, menghidap penyakit Parkinson, iaitu gangguan neurodegeneratif yang membawa kepada gegaran otot serta kesukaran berjalan dan imbangan.

Disebabkan keadaan itu, beliau memerlukan bantuan untuk melakukan kegiatan harian seperti makan dan mandi.

Menantunya mengupah Hidayah melalui sebuah agensi pada Februari 2022, dan turut memberi pembantu rumah itu telefon bimbit.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Hidayah sedang memandikan warga emas itu di sebuah flat di Punggol kira-kira 10.30 pagi pada 18 April 2022 apabila dia menerima panggilan daripada suaminya yang bertanya apa sedang dilakukannya.

Dia kemudian mengambil gambar dirinya bersama warga emas itu menggunakan telefon bimbitnya dan menghantarnya kepada suaminya, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Joshua Phang.

Empat hari kemudian, dia mengambil gambar serupa dan menghantarnya kepada rakannya melalui Facebook Messenger.

Pada 6 Mei 2022, menantu mangsa membawa Hidayah kembali ke agensinya. Dokumen mahkamah tidak mendedahkan mengapa beliau berbuat demikian.

Beliau turut mengambil semula telefon bimbit itu. Esoknya, beliau memeriksa telefon bimbit itu dan ternampak gambar bapa mentuanya.

Beliau juga menyemak sembang WhatsApp, dan mendapati Hidayah menghantar gambar itu kepada suamin dan kakak iparnya.

Laporan polis dibuat pada 8 Mei 2022.