Selama bertahun-tahun lamanya, pembantu rumah Indonesia, Cik Muhlipah Muhaili, membantu menyediakan juadah istimewa Lebaran bagi perhimpunan keluarga di rumah majikannya, Cik Afasah Ahmad, di Bedok.

Perhimpunan sempena sambutan Aidilfitri ataupun Aidiladha pastinya penuh kemeriahan kerana ramai sanak saudara dan adik-beradik Cik Afasah, 54 tahun, seorang guru, akan berkumpul untuk menjamu selera.

Namun, selepas ibu Cik Afasah, Allahyarhamha Zakiah Samad, 83 tahun, meninggal dunia sekitar Januari 2026 kerana sakit ginjal tahap lanjut, Cik Muhlipah, 44 tahun, mendapati dirinya kini memikul amanah besar melangkaui tugas harian di rumah.

Pembantu rumah asal Bangkalan di Pulau Madura, Jawa Timur, itu kini adalah tukang masak utama yang perlu memelihara amalan, rutin dan tradisi keluarga Cik Afasah, dalam menjamu tetamu dengan sajian Lebaran pembuka selera.

Pada 27 Mei, sempena Aidiladha, Cik Muhlipah diasak rasa sebak dek ketiadaan Cik Zakiah.

Beliau berkongsi kesedihan yang dirasakan anak cucu Allahyarhamha.

Selama hampir empat tahun, Cik Muhlipah merupakan orang penting setiap Lebaran, yang akan menyiapkan segala juadah dan sajian, dengan bimbingan Cik Zakiah.

“Seisi dapur akan penuh aroma rempah-ratus dan santan. Nenek masak semua. Saya cuma bantu potong sayur dan bawang.

“Antara hidangan yang paling saya nantikan setiap kali Hari Raya ialah ayam masak merah, lontong dan sup tulang yang dimasak sendiri oleh nenek.

“Tapi kerana nenek sudah lanjut usia dan kesihatannya mula merosot, saya mula ambil alih tugas di dapur sedikit demi sedikit.

“Daripada sekadar menyediakan bahan masakan, saya diajar mengikuti resipi keluarga nenek.

Cik Muhlipah Muhaili (kiri), bersama Allahyarhamha Zakiah Samad, sewaktu ibu majikannya itu dirawat di hospital.
Cik Muhlipah Muhaili (kiri), bersama Allahyarhamha Zakiah Samad, sewaktu ibu majikannya itu dirawat di hospital. - Foto ihsan MUHLIPAH MUHAILI

“Lepas itu, nenek suruh saya cuba masak sendiri,” katanya sambil tersenyum.

Daripada seorang pembantu di dapur, Cik Muhlipah akhirnya menjadi individu yang dipertanggungjawabkan menyediakan hidangan yang begitu sinonim dengan perhimpunan keluarga tersebut.

“Kini, dengan ketiadaan nenek, saya harus pastikan rasa, suasana dan kenangan yang pernah dicipta nenek sewaktu musim Lebaran terus hidup dalam setiap hidangan yang disajikan buat keluarga majikan.

“Saya pun belajar masak sup tulang, sebagaimana yang disiapkan nenek,” jelasnya.

Cik Muhlipah Muhaili (kiri) bersama majikannya, Cik Afasah Ahmad (kanan), serta ibu Cik Afasah, Allahyarhamha Zakiah Samad, yang menjadi teman setia ke pasar setiap Sabtu.
Cik Muhlipah Muhaili (kiri) bersama majikannya, Cik Afasah Ahmad (kanan), serta ibu Cik Afasah, Allahyarhamha Zakiah Samad, yang menjadi teman setia ke pasar setiap Sabtu. - Foto ihsan AFASAH AHMAD

Walaupun mengakui masih merindui keluarganya di Indonesia, Cik Muhlipah berkata beliau berasa selesa bersama keluarga majikannya yang telah menjadi sebahagian kehidupannya.

“Rindu keluarga di kampung memang ada, mula-mulanya sangat rindu tetapi sekarang, sudah tidak sangat.

“Di sini pun, keluarga majikan macam keluarga saya juga,” kata ibu dua anak perempuan berusia 10 dan 18 tahun itu.

“Antara hidangan yang paling saya nantikan setiap kali Hari Raya ialah ayam masak merah, lontong dan sup tulang yang dimasak sendiri oleh nenek. Tapi kerana nenek sudah lanjut usia dan kesihatannya mula merosot, saya mula ambil alih tugas di dapur sedikit demi sedikit. Daripada sekadar menyediakan bahan masakan, saya diajar mengikuti resipi keluarga nenek. Lepas itu, nenek suruh saya cuba masak sendiri.”
Cik Muhlipah Muhaili, pembantu rumah.