Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembantu swab, pengurus pusat ujian 'jual' kit ART dijel

Jan 18, 2023 | 5:30 AM
15cdfb0f-74d8-43e4-a163-9a857d97b30e
- Foto ST

SEORANG pembantu swab dan pengurus tapak pusat telah menyalah guna kit ujian pantas antigen (ART) bernilai $14,162.50 daripada pusat ujian Covid-19 di mana mereka bekerja dan kemudian menjual sebahagian daripada kit itu di pasaran Carousell untuk mendapatkan keuntungan.

Kedua-dua mereka berbuat demikian antara September dan Oktober 2021, selepas mendapati seorang pekerja di Pusat Ujian Pantas Tekka di Little India telah secara tidak sengaja memesan kit ART berlebihan daripada Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB).

Untuk menutup kesilapan itu, Audrey Sau membantu Deng Xianying, pengurus tapak pusat tersebut, menyalah gunakan 103 kotak tambahan kit ART.

Semalam, Sau, 24 tahun, dihukum penjara dua minggu selepas dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan menyalah gunakan harta secara tidak jujur dan satu pertuduhan di bawah Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain (Rampasan Faedah).

Deng dijatuhi hukuman penjara tiga minggu pada November lalu atas peranannya dalam urusan tersebut.

Pada September 2021, Sau bertugas sebagai pembantu swab di Pusat Ujian Pantas Tekka, yang menyediakan ujian Covid-19 yang diselia kepada orang ramai semasa pandemik Covid-19.

Sekitar 19 September 2021, Deng menyedari stok kit ART yang mereka mempunyai telah tersalah kira, menyebabkan pusat ujian itu terlebih memesan kit daripada HPB.

Deng bimbang dia dan Sau akan menghadapi masalah dengan HPB, dan mereka memutuskan untuk membawa pulang kit tersebut.

Pada 19 September 2021, Sau mengambil kit sebanyak dua karton daripada pusat itu.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Encik Jaime Pang berkata seorang rakan sekerja mereka membantu membawa karton ketiga dan memasukkannya ke dalam van yang dipandu kakak Deng.

Selepas itu, Sau dan Deng menyedari mereka boleh mendapat keuntungan dengan menjual kit ART di Carousell.

Antara 29 September 2021 dan 1 Oktober 2021, kedua-duanya menjual 44 kotak kit ART kepada 19 pelanggan dan memperoleh $5,363.70. Setiap kotak dijual pada harga $100 hingga $140.

Sau dan Deng kemudiannya ditahan selepas laporan polis dibuat pada 1 Oktober 2021, memaklumkan pihak berkuasa tentang kesalahan mereka. Baki 59 kotak yang mereka ambil telah ditemui semasa siasatan.

Kedua-dua mereka telah diarahkan memberi pampasan kepada HPB bagi kit ART yang mereka jual.

Mereka yang didapati bersalah menyalah gunakan harta secara tidak jujur boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg