Hasrat murni untuk merehatkan minda daripada kesibukan harian sambil mendekatkan diri kepada Ilahi menerusi kembara umrah secara solo bertukar menjadi pengalaman mendebarkan buat Cik Husna Hussain susulan ketegangan yang kian meruncing di Arab Saudi.

Wanita berusia 29 tahun itu, yang memulakan perjalanan rohani selama 10 hari sejak 4 Oktober lalu, terpaksa berdepan detik cemas apabila penerbangan pulangnya menerusi Qatar Airways ke Singapura dibatalkan pada saat-saat akhir.

Penerbangannya dari Jeddah ke Doha yang sepatutnya membawanya pulang pada 13 Oktober dibatalkan menyusuli serangan kumpulan Houthi ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh yang mencetuskan keadaan huru-hara terhadap jadual penerbangan serantau.

Khabar mengejutkan itu memaksa Cik Husna berhempas-pulas mencari tiket penerbangan serta tempat penginapan alternatif baharu setelah menyedari beliau tiada pilihan lain selain melanjutkan tempoh untuk berada di Tanah Suci.

“Saya meneruskan rancangan saya sambil terus berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini, selain mendaftarkan diri dengan Kementerian Ehwal Luar (MFA),” kongsi Cik Husna ketika dihubungi Berita Harian (BH).

“Saya kini sedang berhubung dengan, dan menerima bantuan, daripada pasukan konsulat Singapura.

“Saya berasa lega terdapatnya sokongan sekiranya saya memerlukan bantuan lanjut, dan mereka sangat pantas memberikan sokongan serta memantau perkembangan situasi ini.”

Cik Husna mengakui beliau berasa risau sebaik sahaja berita pembatalan itu tersebar, apatah lagi ini juga merupakan pengalaman pertamanya mengembara bersendirian sejauh beribu-ribu batu tanpa ahli keluarga di sisi.

Bagi meredakan kegusaran keluarganya di Singapura, Cik Husna, yang juga merupakan pengasas dan pengarah Membina Community, mengambil inisiatif berkongsi perkembangan terkini hampir setiap jam sepanjang beliau berada di sana.

“Sememangnya keluarga amat bimbang melihat saya bersendirian di sini, namun saya terus meyakinkan mereka bahawa diri saya selamat dan mempunyai saluran bantuan sekiranya memerlukan pertolongan,” kongsinya.

Meskipun bayang-bayang krisis keselamatan terus menyelubungi beberapa kawasan di Saudi, Cik Husna menyifatkan suasana di kota Madinah tetap damai dan tenteram dengan situasi masyarakat setempat berjalan seperti biasa.

Menceritakan pengalaman umrahnya, Cik Husna berkata beliau telah berbelanja kira-kira RM13,500 ($4,225) untuk pakej pelancongan persendirian yang merangkumi segala keperluan, yang diuruskan sebuah agensi pelancongan Malaysia.

Bagi memulakan perjalanan umrah tersebut, beliau telah menaiki penerbangan Qatar Airways dari Singapura ke Doha untuk transit, sebelum meneruskan perjalanan ke Jeddah.

Beliau sepatutnya pulang ke Singapura pada 13 Oktober, 9.45 malam, namun penerbangan transitnya dari Jeddah ke Doha telah dibatalkan.

Kesukaran Cik Husna bertambah runcing apabila hotel penginapannya di Madinah tidak mempunyai bilik kosong bagi tempoh lanjutan, sekali gus memaksanya bergegas untuk mencari tempat penginapan alternatif.

Sekiranya terpaksa terkandas selama seminggu lagi, beliau menganggarkan perbelanjaan luar jangka bagi sewa bilik, makan minum serta urusan pengangkutan boleh mencecah sekurang-kurangnya $1,000 atau lebih.

Namun, setelah melalui detik cemas dan penantian yang penuh tanda tanya, beliau akhirnya berjaya mendapat penerbangan yang bakal membawanya pulang ke pangkuan keluarga.

“Alhamdulillah, pihak penerbangan baru sahaja mengesahkan jadual baharu pada tengah malam 15 Oktober dari Jeddah ke Doha sebelum mendarat di Singapura,” luah beliau dengan nada penuh kesyukuran.

Meskipun berdepan dengan keresahan dan ketidaktentuan susulan pembatalan penerbangannya, Cik Husna berkata beliau enggan membiarkan keresahan itu menenggelamkan semangatnya.

Sebaliknya, Cik Husna berkata beliau memilih untuk melihat pengalaman getir itu sebagai “hikmah di sebalik ujian” dan kini ingin menjalani kehidupannya hari demi hari.

“Mengatur sendiri penginapan dan urusan perjalanan pulang tanpa kehadiran fizikal keluarga sememangnya agak menggentarkan jiwa, namun saya cuba menempuh dugaan ini selangkah demi selangkah.

“Saya akan memanfaatkan baki masa ini dengan berangkat ke Makkah bagi menyempurnakan ibadah umrah kali kedua sementara menanti detik berlepas pulang ke tanah air,” kongsi Cik Husna.

Sejak 8 Oktober lalu, beberapa lapangan terbang di Arab Saudi telah menjadi sasaran serangan bertubi-tubi kumpulan Houthi dari Yaman, dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh menjadi antara tumpuan serangan.

Serangan berkenaan melumpuhkan sebahagian laluan udara komersial dan mengakibatkan pembatalan penerbangan berskala besar, sekali gus menjejas ribuan pengunjung termasuk jemaah umrah warga Singapura.

Kumpulan Houthi melancarkan serangan itu sebagai tindak balas dendam terhadap sokongan ketenteraan Arab Saudi kepada pemerintah Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Serangan berulang kali tersebut meningkatkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan di Saudi dan mencetuskan kegelisahan berhubung ancaman baharu terhadap prasarana awam serta lapangan terbang.

Menyusuli perkembangan mencemaskan itu, pemerintah Singapura telah mengeluarkan kenyataan tegas mengutuk sekeras-kerasnya serangan kumpulan Houthi dan menggesa semua rakyat Singapura agar kekal berwaspada.

Pada 9 Oktober lalu, MFA mengecam serangan ke atas infrastruktur penerbangan awam di Saudi yang meragut nyawa dan mencederakan orang awam, sambil menegaskan perbuatan itu sama sekali “tidak boleh diterima dan tidak wajar sama sekali”.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, pada 11 Oktober turut melahirkan rasa amat dukacita atas serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid.

Sambil menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terjejas, Encik Zaqy menegaskan bahawa serangan menyasarkan orang awam dan prasarana awam tidak boleh dijustifikasikan sama sekali.

Beliau turut menggesa rakyat Singapura, khususnya yang mempunyai keluarga di Saudi mahupun yang merancang untuk menunaikan umrah, supaya sentiasa peka dan mematuhi nasihat perjalanan rasmi yang dikeluarkan oleh MFA.