PEMBELI flat di sekurang-kurangnya tiga projek Bina Ikut Tempahan (BTO) dimaklumkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bahawa pembinaan rumah mereka tertangguh lagi, beberapa bulan sebelum ia dijangka siap.
Pembeli di projek BTO Tampines GreenCourt, Clementi NorthArc dan Woodleigh Hillside, yang awalnya menjangka flat mereka siap pada suku ketiga tahun ini - yang sudah pun merupakan tarikh siap tertangguh - kini perlu menunggu antara tiga dan enam bulan lagi untuk rumah mereka siap.
Lebih 25 pembeli di ketiga-tiga projek itu memberitahu akhbar The Straits Times mereka kecewa kerana dimaklumkan lewat mengenai kelewatan terbaru ini.
Mereka akan mendapat kunci rumah baru mereka sekitar sembilan hingga 12 bulan lebih lewat dari yang mereka jangka semasa mereka menempah flat mereka.
Tampines GreenCourt mempunyai 2,192 unit BTO, Clementi NorthArc 1,179 unit, dan Woodleigh Hillside 1,355 unit.
Majoriti pembeli menerima e-mel daripada HDB pada 31 Mac memaklumkan mereka tentang kelewatan terkini.
Dalam e-mel itu, HDB berkata gangguan ke atas kegiatan pembinaan yang ditimbulkan oleh pemutus litar jangkitan Covid-19 selama dua bulan pada 2020 diburukkan oleh penutupan sempadan Malaysia sejak dua tahun lalu, yang menjejas bekalan binaan utama, serta kawalan sempadan yang diperketat bagi pekerja dari Asia Selatan selama beberapa bulan pada 2021.
HDB berkata sejak itu ia telah melaksana pelbagai langkah untuk mempercepat kerja pembinaan di tapak dan membantu kontraktor mengelak kelewatan selanjutnya ke atas projek.
"Bagaimanapun, walaupun terdapat usaha sedaya upaya oleh HDB dan rakan kerja projek kami, penilaian terbaru kami dengan tempoh kurang setahun ke tarikh siap projek itu sekarang, malangnya akan ada kelewatan lanjut bagi projek itu," kata HDB dalam e-mel kepada pembeli.
HDB memberi jaminan kepada pembeli bahawa ia akan terus mencari jalan untuk mempercepat kerja pembinaan secepat mungkin, tanpa menjejas mutu projek dan keselamatan serta kesejahteraan pekerja.
Sungguhpun begitu, HDB berkata masih ada ketidakpastian menge-nai situasi Covid-19 global dan "perubahan lanjut ke atas garis masa projek tidak boleh diketepikan sepenuhnya pada peringkat ini".
Pembeli dalam sekurang-kurangnya dua projek BTO lagi - Rivervale Shores di Sengkang dan Eunos Court di Geylang - juga telah menerima e-mel serupa daripada HDB, yang memaklumkan mereka tentang kelewatan tiga hingga enam bulan lagi bagi flat mereka.
Kedua-dua projek itu pada mulanya dijangka siap pada 2023.
Sebagai respons balas kepada pertanyaan ST, HDB berkata pembeli terjejas diberi kemas kini secara berkala mengenai garis masa projek dan tarikh siap flat baru mereka yang disemak, berdasarkan anggaran terkini HDB.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg