Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembersihan haram hutan Kranji: Pegawai JTC, penyelianya ketika itu, didenda $30,000 setiap seorang

Nov 9, 2022 | 5:20 PM
Neo Jek Lin (kiri) dilantik sebagai pengurus projek, manakala Chong Pui Chih adalah penyelianya.
Neo Jek Lin (kiri) dilantik sebagai pengurus projek, manakala Chong Pui Chih adalah penyelianya. - KELVIN CHNG

SEORANG pegawai dan penyelianya ketika itu, semalam (9 Nov) didenda atas peranan mereka dalam satu konspirasi untuk membersihkan sebahagian kawasan hutan Kranji sebelum mendapat kelulusan. Neo Jek Lin, 44 tahun, yang merupakan pengurus projek kanan JTC, didenda $30,000 selepas dia mengaku bersalah pada 4 November lalu atas tiga tuduhan di bawah Akta Taman dan Pokok serta tuduhan keempat di bawah Akta Hidupan Liar. Chong Pui Chih, 47 tahun, bekas timbalan pengarah lembaga berkanun itu, turut didenda $30,000. Wanita itu sebelum ini mengaku bersalah atas tiga tuduhan di bawah Akta Taman dan Pokok. Neo dan Chong semasa itu mengusahakan pembangunan Taman Inovasi Pertanian Makanan (AFIP), yang berkisarkan kegiatan pertanian berteknologi tinggi serta penyelidikan dan pembangunan. Mereka berdua adalah sebahagian daripada empat pegawai daripada JTC dan CPG Consultants yang bertindak melanggar secara serius keperluan yang ditetapkan. Ini telah mengakibatkan 362 pokok ditebang tanpa kelulusan. Hakim Daerah, Cik Lee Lit Cheng, berkata Neo dan Chong amat menyedari keperluan berkaitan hidupan liar yang perlu dipatuhi tetapi kedua-duanya bersetuju untuk meneruskan kerana mereka bimbang tentang kelewatan projek. Hakim Lee berkata: "Walaupun Neo dan Chong bertindak atas rasa tanggungjawab terhadap kerja yang diamanahkan, mereka gagal menunjukkan tanggungjawab dalam melindungi alam sekitar." Dalam menjatuhkan hukuman, beliau menyatakan walaupun Neo, sebagai pengurus projek AFIP, memainkan lebih peranan berkaitan tapak projek itu, lebih banyak yang diharapkan daripada Chong kerana jawatan kanannya. Pemerintah telah mengumumkan pembangunan AFIP Kranji pada Mac 2019. Sebidang tanah yang terletak di Kranji Close dan Kranji Road telah diketepikan bagi pembangunan projek itu. Tapak seluas 18.4 hektar - seluas kira-kira 26 padang bola sepak - merupakan tanah kosong yang memerlukan penebangan pokok sedia ada untuk pembangunan yang dirancang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg