Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembiayaan dana OSCAR sokong kesejahteraan komuniti di Singapura

May 10, 2024 | 5:00 AM
Presiden The Resonance Project (TRP), Cik Janie Chia Lee Xuan (kiri), berkata, sesi muzik bersama TRP memberi ruang kepada warga emas atau kanak-kanak mengekspresikan perasaan dan kegembiraan mereka. 
Presiden The Resonance Project (TRP), Cik Janie Chia Lee Xuan (kiri), berkata, sesi muzik bersama TRP memberi ruang kepada warga emas atau kanak-kanak mengekspresikan perasaan dan kegembiraan mereka.  - Foto THE RESONANCE PROJECT (TRP)

Ditubuhkan pada 2007, Yayasan Temasek menyokong pelbagai program dalam usaha pembangunan dan kesejahteraan komuniti di Singapura.

Yayasan Temasek turut memperkenalkan dana OSCAR bagi menyokong inisiatif yang dimulai oleh penduduk tempatan, untuk membantu masyarakat mengangkat masyarakat yang rentan dan menumbuhkan lingkungan yang peduli.

“Setiap aktiviti kumpulan mampu mencetuskan kesan berlanjutan dalam membawa rakyat bersama-sama memberi harapan dan penjagaan kepada semua lapisan masyarakat. OSCAR akan bergandingan dengan sesiapa sahaja untuk membina budaya penjagaan yang berterusan ini,” jelas Cik Woon Saet Nyoon, Ketua Rangkaian dan Perkongsian Masyarakat Yayasan Temasek.

KELAS MUZIK BERSAMA THE RESONANCE PROJECT

Antara inisiatif yang mendapat tajaan dana OSCAR, ialah The Resonance Project (TRP), sebuah kumpulan relawan yang berkhidmat kepada masyarakat melalui pengajaran muzik percuma.

TRP menyasarkan inisiatif pengajaran tersebut kepada para benefisiari seperti warga emas dan kanak-kanak sekolah rendah, yang kebanyakan datang daripada keluarga berpendapat rendah atau kanak-kanak berisiko.

Dari akhir tahun 2022 hingga hujung 2023, dana OSCAR telah membantu TRP menubuhkan lapan lokasi pusat baru bagi membolehkan benefisiari mempelajari muzik, kira-kira empat kali sebulan bagi setiap pusat.

Menceritakan tentang sesi muzik tersebut, Presiden TRP, Cik Janie Chia Lee Xuan, berkata: “Menggunakan peralatan seperti ukelele, gitar, ‘keyboard’ dan ‘cajon’, para peserta mempelajari kord, irama, teknik dan memilih lagu yang ingin dipelajari. Sesi bersama TRP ialah ruang selamat untuk peserta mengekspresikan perasaan mereka. Apabila mendapati sesi ini membuatkan warga emas atau kanak-kanak rasa diri mereka disayangi, maka ia sangat berbaloi buat kami.”

Pengasas bersama TRP, Encik Elijah Chao, juga memberitahu, TRP yang dimulakan pada 2021, telah menjadi usaha kumulatif lebih daripada 700 ahli, rakan kongsi dan penyumbang dana, termasuklah Yayasan Temasek.

“Bersama-sama, kami berupaya memberi pendedahan muzik dan berhubung dengan orang ramai melalui kegembiraan yang kami temui dalam muzik. Sehubungan itu, kami mewujudkan ruang untuk belia berkhidmat secara aktif dan memberi kesan bermakna dalam komuniti mereka,” jelas Encik Elijah.

PEACEPOD UTAMAKAN KESIHATAN MENTAL

Sebuah lagi penerima dana OSCAR iaitu PeacePod, telah direka khas untuk memperkasakan individu, memupuk sokongan dan menggalakkan kesejahteraan mental. Kini, jumlah relawan PeacePod telah mencecah 118 orang pelajar dari 7 buah sekolah berbeza, sejak ia ditubuhkan pada Disember 2021.

Selain itu, pengagihan bunga origami bersama nota tulisan tangan turut disediakan kepada pelajar sekolah menengah dan masyarakat luar dengan mesej yang menggalakkan, menerusi projek Flowers 4 Mental Health Movement.

Menerima pelbagai bentuk sokongan daripada Yayasan Temasek, Cik Judy menerangkan: “Bukan hanya menyalurkan sumbangan kewangan, tetapi Yayasan Temasek juga membimbing perjalanan PeacePod dengan menghubungkan kami kepada rangkaian kumpulan perkhidmatan sosial seperti The Total Wellness Initiative (TWIS).

Salah seorang relawan PeacePod, Cik Salwa Khan, turut berkongsi pengalamannya menyertai PeacePod sejak Disember 2022 lagi. Beliau berkata: “Penyertaan dalam PeacePod membolehkan saya melakukan kerja-kerja kesukarelawanan. Ia sangat bermanfaat kerana saya juga boleh mempelajari cara membantu orang lain yang memiliki masalah kesihatan mental.”

THE SATURDAY MOVEMENT EDAR SAJIAN PERCUMA

Turut menerima sokongan daripada Yayasan Temasek ialah The Saturday Movement (TSM), sebuah pertubuhan relawan bukan pemerintah (NGO) yang berdaftar sejak 2020 lagi.

Sekitar 550 benefisiari menerima manfaat daripada pengagihan makanan yang diedarkan TSM kepada masyarakat, khususnya penduduk warga tua yang tinggal di flat sewa satu bilik di kawasan Lengkok Bahru.

Pengasas TSM, Encik Raymond Khoo, menjelaskan: “Hampir 5,000 pek makanan diagihkan setiap bulan melalui kupon dan penghantaran makanan. Kami juga mengedarkan sebanyak 320 pek roti berserta buah-buahan setiap minggu, menjadikan jumlah edaran pek tersebut sebanyak 1,280 pek setiap bulan.

“Kami turut menyediakan 150 makanan panas berbentuk bufet dan teh harian percuma di perusahaan sosial milik TSM, S17 Community Kitchen, kepada benefisiari warga emas setiap minggu (hari Sabtu), menjadikan 600 orang yang memperolehi manfaat tersebut pada setiap bulan.”

Pada masa yang sama, seorang warga emas berusia 78 tahun, Encik Salleh Buang, juga tidak melepaskan peluang membantu TSM, yang berkembang dengan kekuatan 70 orang relawan setakat ini.

Cerita Encik Salleh: “Alhamdulillah, walaupun di usia begini, saya berpeluang menolong orang lain seperti menghantar makanan dari rumah ke rumah. Semoga usaha kecil ini dapat menjadi inspirasi untuk masyarakat membantu lebih ramai orang yang memerlukan.”

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dana OSCAR, sila kunjungi
http://www.temasekfoundation.org.sg/OSCAR. Yayasan Temasek sokong pelbagai program di Singaoura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg